SELESAI Sudah Ijtimak Madani Ulama Dan Guru Pondok Kelantan 2025 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Machang pada 9 Ogos.
Disempurnakan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, program ini menunjukkan sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam mengangkat martabat dan keupayaan institusi pondok.
Antara yang ditekankan Perdana Menteri dalam program ini ialah kepentingan guru-guru pondok menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan institusi yang menjadi benteng akidah umat Islam itu tidak kalah dengan serangan sekular melalui dunia teknologi.
Tegas beliau, meskipun memerlukan bidang tersebut, pengajian dan penggunaan kitab perlu dikekalkan di institusi pondok.
Majlis ini juga menyaksikan Perdana Menteri menyampaikan sumbangan sebanyak RM1.03 juta melalui program Sumbangan Kepada Pondok-Pondok Yang Menghadiri Program Muzakarah Umara dan Ulama Pondok 2025 di Putrajaya sebelum ini. Cek cura untuk tujuan ini disampaikan beliau kepada Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom. YADIM merupakan rakan kerjasama penganjuran program ini.
Turut menjadi pengisian dalam program ini ialah sesi Dialog Bersama Menteri yang menyaksikan dialog penuh harmoni berlangsung antara para ulama, asatizah dan pemimpin pondok dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Yang Berhormat Dato’Setia Dr Haji Mohd Na’im Mokhtar.
Sementara itu hadir sama ke program ini ialah Timbalan Yang Dipertua YADIM, Profesor Madya Dr. Adi Anuar Azmin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Haji Amidi Dato’Abdul Manan, Ketua Pegawai Eksekutif, Ustaz Zamri Zainal Abidin dan Pengarah YADIM Negeri Kelantan, Ustaz Haji Mahadi Awang.
Terlibat sama ialah seorang lagi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Profesor Ts Dr. Zuriati Ahmad Zukarnain yang bertanggungjawab terhadap pameran reruai Universiti Putra Malaysia mengenai aplikasi kecerdasan buatan (AI) pembelajaran al-Quran, Tarteel AI di ijtimak ini.
Tarteel ialah aplikasi al-Quran dikuasakan AI yang direka untuk membantu umat Islam membaca, menghafal dan meningkatkan pemahaman mereka tentang al-Quran.



KOMEN