Home » Langit Terbuka » Peperiksaan UPSRA dibatalkan – JAWI

Peperiksaan UPSRA dibatalkan – JAWI

Pembatalan UPSRA tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid-murid kepada ilmu-ilmu diniyah diikuti bermula dari Tahun 1 hingga Tahun 6, jelas JAWI. - Foto abunuha.wordpress

KUALA LUMPUR – Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) kendalian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang dijadualkan pada 28 September hingga 1 Oktober 2020 dibatalkan ekoran penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata, semua sesi persekolahan Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Integrasi Rendah Islam JAWI (SIRAJ) dan Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) juga akan mengikut ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan keselamatan dan kesihatan semua murid dan guru terjamin.

Katanya, pembatalan UPSRA tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid-murid kepada ilmu-ilmu diniyah diikuti bermula dari Tahun 1 hingga Tahun 6.

“Kemenjadian murid-murid di dalam pendidikan ilmu-ilmu diniyah mampu dinilai melalui pelbagai kaedah. Justeru, bagi tujuan ini, JAWI akan menetapkan satu kaedah pentaksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis tersebut.

“JAWI juga merakamkan penghargaan kepada semua guru yang mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan kepada lebih kurang 63,000 pelajar di SRA, SIRAJ dan KAFA di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan di sini.

Kerajaan menguatkuasakan PKP sejak 18 Mac lalu hingga 28 April depan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Kerajaan juga membatalkan peperiksaan awam bagi UPSR dan PT3 yang diumumkan Menteri Kanan Pendidikan pada 15 April lalu, sebelum disusuli keputusan JAKIM membatalkan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) pada tahun ini. — AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *