Home » Persuasif » Peranan agamawan tangani perpecahan

Peranan agamawan tangani perpecahan

Oleh MOHD. SHAUKI ABD.MAJID

FENOMENA perpecahan umat Islam di negara ini kebelakangan ini semakin melarat ke semua bidang kehidupan. Sikap saling menuduh, fitnah-memfitnah dan percakaran sesama Islam semakin meningkat akibat pertembungan kuasa dan perbezaan pandangan agama. Gejala negatif ini apabila tidak ditangani secara bijaksana dan seberapa segera, dikhuatirkan boleh menjurus kepada konflik secara terbuka yang kemudiannya akan meng­akibatkan runtuhnya negara.

Justeru, Perhimpunan Agamawan Kebangsaan yang berlangsung dua hari lepas menyeru kepada segenap lapisan umat Islam di Malaysia menggalakkan perpaduan umat Islam serta mengelakkan perbalahan dan pertengkaran yang semakin genting.

Golongan agamawan yang berhimpun turut menggesa umat Islam agar tidak menjadikan isu agama semasa yang berkembang dalam masyarakat sebagai medan perpecahan dan perbalahan yang hanya merugikan umat Islam itu sendiri. Segala perbezaan pandangan terhadap sebarang isu agama semasa perlu mendapat respon cepat pihak berkuasa agama sama ada dari Jabatan Mufti dan pihak majlis agama agar tidak menjadi kontroversi yang menjejaskan perpaduan ummah.

Sebarang perbezaan pendapat mengenai ajaran agama dan pandangan atau sokongan politik hendaklah ditanggapi dengan keluasan ilmu dan hati yang berlapang dada. Lebih daripada itu, sebagai kumpulan masyarakat yang dibekalkan ilmu agama yang kukuh, golongan agamawan dituntut terlibat aktif memberi pencerahan dan kefahaman kepada masyarakat mengenai pen­tingnya perpaduan ummah.

Dalam menjalankan misi pene­rangan kepada masyarakat, hendaknya agamawan di negara ini menggunakan pendekatan secara berhikmah, lemah lembut, kasih sayang dan mengelakkan sikap emosi terutama berdepan dengan isu-isu kontroversi.

Pada perhimpunan itu, para pemimpin agama serta pemimpin politik Islam di negara ini turut diseru supaya menilai kembali cara mereka memperjuangkan pandangan masing-masing agar lebih sesuai dengan ajaran Islam dan tidak mengganggu survival ummah pada masa yang akan datang.

Salah satu faktor yang menjadi pendorong perpecahan ialah umat Islam lebih sibuk dengan amalan dan urusan ibadah sehingga mengabaikan persoalan muamalah. Bidang muamalah seper­ti menjalin kerjasama dengan semua komuniti tanpa mengira kaum dan agama, mengukuh­kan persatuan dan perpaduan sesama Muslim dan pelbagai aspek sosial yang lain ditinggalkan. Walhal, muamalah sama pentingnya de­ngan ibadah yang lain.

Sesungguhnya kedatangan agama Islam bukan sekadar untuk mengajar zikir dan doa tetapi untuk membebaskan manusia daripada segala penderitaan dan ancaman penyakit yang boleh memusnahkan kehidupan manusia itu sendiri.

Bukan sahaja ancaman penya­kit perpecahan tetapi juga isu lain seperti AIDS, dadah, keruntuhan akhlak – penyakit sosial yang menjadi kewajipan umat Islam membanterasnya. Ibadah bukan hanya terhad kepada yang bersifat ritual seperti solat, puasa dan zakat.

Tugas-tugas kemasyarakatan (muamalah) harus dipikul oleh sesiapa sahaja yang menggelar diri mereka Muslim sejati. Islam memandang tugas-tugas ini lebih tinggi dan mulia daripada ibadah ritual (mahdah). Bahkan apabila ibadah ritual terjadi serentak dengan urusan muamalah yang penting, maka ibadah ritual itu boleh dipendekkan.

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Aku sedang solat dan aku ingin memanjangkannya, tetapi aku de­ngar tangisan bayi. Aku pendekkan solatku, kerana aku maklum akan kecemasan ibunya kerana tangisannya itu.”

Demikian juga dalam hadis yang lain Rasulullah mengingatkan imam agar memendekkan solat apabila ada dalam kalangan jemaah yang uzur, tua atau mempunyai keperluan lain.

Begitu juga dalam urusan muamalah yang berkaitan persoalan penganiayaan dan kezaliman sesama manusia tidak boleh dihapuskan dosanya dengan solat tahajud atau membaca zikir 1000 kali.

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah dikatakan kepada Rasulullah bahawa seorang wanita berpuasa siang hari dan solat di waktu malam tetapi dia menyakiti jiran tetangganya. Rasulullah menjawab pe­rempuan itu akan dihumban ke neraka.

Jelas betapa solat dan puasa tidak berguna lagi jika si pelakunya telah merosakkan hubungan baik dengan jiran tetangga. Begitu juga apabila ada sesetengah orang yang lebih gemar mengeruhkan keadaan sehingga berlaku perpecahan masyarakat.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim.”

Sebenarnya melibatkan diri dalam bidang kemasyarakatan dari segi ganjaran pahalanya lebih besar daripada ibadah sunat. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Maksud kamu aku beritahu darjat apa yang lebih utama daripada solat, puasa dan sedekah. Sahabat menjawab: Tentu! iaitu mendamaikan pihak yang bertengkar.”

Oleh itu, anjuran kepada perpa­duan adalah mengatasi ibadah mahdah. Malangnya, sebahagian orang masih menganggap ibadah mahdah adalah segala-galanya sehingga tidak memberi keutamaan kepada kesatuan ummah dan mengelakkan perpecahan yang semakin kritikal.

PENULIS ialah Setiausaha Analisis Dan Pengurusan Isu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

– https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *