Home » Langit Terbuka » Peranan masjid bantu kariah melalui program JAWI Food Bank

Peranan masjid bantu kariah melalui program JAWI Food Bank

Pengasas Country Heights Holdings Berhad, Tan Sri Lee Kim Yew diiringi Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail (kiri) melihat hamper yang akan diserahkan kepada golongan fakir miskin dan yang memerlukan menerusi Program Bantu Bantu Malaysia sempena bulan Ramadan pada hari ke - 9 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Besyarat (PKPB) bagi membendung wabak Covid - 19 di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 12 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Walaupun rumah ibadat khususnya masjid dan surau Jumaat tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu namun peranan institusi Islam itu tidak terhenti begitu sahaja.

Masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan dilihat memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan dalam menangani wabak Covid-19 melalui program Food Bank anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Menariknya peranan JAWI Food Bank ini untuk membantu ahli kariah di sekitar masjid dan surau dengan memberikan bantuan makanan dan barang keperluan asas kepada semua pihak termasuk yang beragama Islam dan bukan Islam.

Menurut Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail, ketika wabak Covid-19 melanda negara dan ramai terputus bekalan makanan kerana terpaksa duduk di rumah, masjid dan surau Jumaat dilihat terus berfungsi dengan memberi sumbangan barang keperluan asas.

“JAWI Food Bank ditubuhkan setahun lalu dengan tiada modal. Kita mengajak masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan untuk menyumbang sekurang-kurangnya RM2,000 setiap satu.

“Setakat ini, kita telah mengumpul sebanyak RM300,000 dengan rakan strategik yang yakin dengan fungsi Food Bank ini. Sehingga semalam saja, kita telah mengeluarkan nilai bantuan bersama rakan strategik sebanyak RM1.3 juta.

“Walaupun masjid dan surau Jumaat ditutup, namun fungsi dan peranannya dapat dimainkan ketika tempoh PKP ini. Dengan cara ini kita telah membantu masyarakat, ribuan telah mendapat manfaat daripada program ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Palace of Golden Horses, Seri Kembangan pada 12 Mei.

Terdahulu beliau mewakil JAWI menerima sumbangan 1,000 hamper barang keperluan asas daripada Pengasas Country Heights, Tan Sri Lee Kim Yew melalui inisiatif Bantu-Bantu Malaysia pemaju hartanah tersebut.

Sumbangan kali ini merupakan bantuan untuk fasa kedua di mana sebelum ini membabitkan 1,000 kampit beras 5 kg, 20,000 topeng muka, 300 Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) dan juga 50,000 roti bom.

Dalam pada itu, menerusi JAWI Food Bank ini, sumbangan yang diterima digunakan untuk membantu semua pihak terjejas tanpa mengira agama dan kaum, sekaligus boleh menimbulkan keharmonian dalam kalangan masyarakat.

“Bantuan makanan ini pula kita sumbangkan kepada semua sasaran, kita tidak mengira Islam ataupun bukan Islam.

“Ini menunjukkan bahawa JAWI Food Bank juga menjalinkan hubungan dengan rakan strategik bukan sahaja Islam bahkan rakan-rakan bukan Islam turut sama membantu menjayakan program ini.

“Ini menggambarkan satu usaha yang baik ke arah kita menyuburkan perpaduan, keharmonian dan menunjukkan keindahan Islam itu sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *