KUALA LUMPUR 23 Ogos – Golongan pendidik adalah kelompok terpenting dalam proses pembentukan generasi muda dalam usaha membentuk sebuah masyarakat contoh seperti yang berlaku pada zaman Salahuddin al-Ayubi, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Yusri Mohamad.
Beliau berkata, pembentukan sebuah generasi muda yang benar-benar mantap merupakan usaha yang sukar dan memakan masa bertahun-tahun, justeru ia memerlukan kegigihan, kesabaran dan azam yang tinggi daripada golongan pendidik.
“Pembinaan sebuah generasi yang mantap ini akan memakan masa yang amat panjang sebagaimana zaman Salahuddin al-Ayubi.
“Menurut para pengkaji, untuk mencapai kegemilangan sebagaimana zaman berkenaan, usaha telah dilakukan sejak 100 tahun terdahulu iaitu diasaskan oleh al-Ghazali lagi,’’ katanya kepada guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang yang mengadakan lawatan ke Yadim hari ini.
Beliau berkata, sebagai pendidik, adalah penting setiap guru menyedari bahawa pentingnya mereka mendidik anak-anak murid masing-masing dengan fahaman yang betul termasuk dalam pelbagai isu yang melanda umat Islam kini.
Jelasnya, pada waktu ini, cabaran umat Islam adalah sangat besar dan ini termasuklah daripada kalangan orang Islam sendiri yang mempersoalkan banyak perkara termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Mereka cuba mempromosikan Islam sebagai agama rasmi sebagai agama Persekutuan dengan tujuan menjadikan agama Islam hanya untuk urusan rasmi sahaja,’’ katanya.
Beliau berkata, para guru juga perlu melihat perkembangan Islam di negara ini dari sudut yang positif terutamanya dari segi pentadbiran Islam di negara ini yang jauh mengatasi negara-negara lain yang mempunyai bilangan penduduk Islam yang lebih ramai.
Katanya, sebagai contoh, kalau dibandingkan Malaysia dan Indonesia, pentadbiran Islam di negara ini begitu maju sehingga kita mempelopori dalam banyak bidang seperti zakat, haji, pengurusan fatwa dan kewangan Islam.
KOMEN