KUALA LUMPUR 23 Ogos – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan menganjurkan program Muzakarah NGO Islam yang melibatkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia pada 27 Ogos ini bertempat di TH Hotel, Alor Setar.
Pengurus Eksekutif Yadim Zon Utara, Hafsah Husain berkata, program berkenaan dijangka dihadiri oleh 150 wakil NGO Islam dan antara lain bertujuan untuk mewujudkan keinsafan dan kesedaran kepada peserta tentang perpaduan, baik dari segi aspek agama, sosial dan penting kestabilan negara.
Selain itu katanya, program ini bertujuan untuk menggariskan tindakan yang perlu diambil oleh para peserta apabila mereka balik ke organisasi masing-masing, selain dapat mempereratkan ukhuwah dan ta’awun sesama NGO Islam.
“Melalui penganjuran ini, YADIM berharap para wakil NGO berkenaan dapat mendengar pelbagai kupasan isu semasa dan dalam masa yang sama dapat menyampaikan pandangan dengan lebih berkesan mengenai pelbagai isu,’’ katanya.
Beliau berkata, program berkenaan adalah sangat penting kerana ia dapat menyatukan NGO Islam di Kedah sebagai platform mereka untuk meningkatkan jaringan, memberi pandangan dan mendengar kupasan isu-isu semasa.
Secara umumnya, beliau berkata, secara umumnya, muzakarah akan membincangkan Rang Undang-undang 355 dan kesannya kepada Islam terutama dari segi perpaduan dan kedudukan Islam itu sendiri di negara ini.
Muzakarah NGO ISLAM ini akan dimulakan dengan pembentangan pertama oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Prof. Dato’ Haji Mahamad Naser Disa dengan kertas kerjanya bertajuk `Peranan NGO dan Pemimpin Islam Dalam Menyatupadukan Ummah’.
Program kemudian diteruskan dengan sesei forum bertajuk `Pindaan Akta RUU 355 dan Perpaduan Ummah’ dengan barisan panelnya terdiri daripada Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya dan bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah, Abdul Ghani Ahmad, sementara Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia ( PGSM Kedah), Hamdi Ishak bertindak sebagai moderator.
Program ini dijadualkan ditutup oleh Yang Dipertua Yadim, Dr. Yusri Bin Mohamad.
KOMEN