Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu tidak berhenti setakat kempen sahaja tetapi juga mahu menghentikan amalan merokok sejajar hasrat menuju negara maju menjelang 2020.

Sehubungan itu, beliau menghargai sokongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga bersama melaksanakan aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di restoran dan kedai makan.

“Masih terlalu awal untuk katakan kempen ini berjaya sebab baru tiga hari dilaksanakan, tetapi saya percaya jika berterusan, ia mencapai hasrat kerajaan selama ini.

“Kita tidak bermusim dalam soal ini, kerana aktiviti penguatkuasaan dijalankan 24 jam setiap hari,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Restoran Tanpa Asap dan Tembakau di Presint 9 di sini.

Pada masa sama, Dzulkefly memaklumkan, kerajaan akan mempertimbangkan cadangan menyediakan ruangan merokok seperti mana yang dilakukan di negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan.

Katanya, hasrat itu akan diteliti semula selepas tempoh enam bulan iaitu apabila bermulanya aktiviti penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak ingkar arahan ditetapkan.

“Insya Allah kita ke arah itu kerana kita juga perlu perhatikan hak untuk merokok iaitu tidak menghalang orang untuk merokok,” katanya.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 5,746 premis diperiksa dan mengeluarkan notis amaran sebanyak 2,500 serta 14,237 risalah kesihatan diedarkan kepada orang ramai.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dalam pada itu berkata, kementerianya akan turut memberi sokongan kepada usaha tersebut dari segi pengkuatkuasaan larangan berkenaan.

“Kempen larangan merokok ini hanya membabitkan 10 peratus ruang yang ada dan perokok boleh memilih 90 peratus lagi ruang merokok yang lain, kita tidak akan hak untuk merokok,” katanya. – Utusan Malaysia