Home » Persuasif » Perhiasan terindah dunia

Perhiasan terindah dunia

Oleh RAUDLOTUL FIRDAUS FATAH YASIN

Manusia secara nalurinya sukakan keindahan dan kecantikan meskipun sifatnya hanya sementara. Allah SWT telah menjelaskan fitrah ini dalam Surah Ali-Imran, ayat 14, “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”

Di dalam ayat ini, jelas wanita dikategorikan sebagai yang paling indah pada pandangan manusia melebihi anak-anak dan harta benda yang melimpah ruah. Lazimnya, demi merealisasikan impian dan keinginan untuk memiliki keindahan itu, manusia sanggup melakukan apa saja termasuk bertungkus-lumus menghiasnya dan bersungguh-sungguh mendapatkannya walau dengan apa jua cara.

Islam tidak menafikan atau mencela fitrah manusia yang sukakan keindahan dan perhiasan, namun Islam memberikan garis panduan dalam mengenal pasti apa itu keindahan yang sebenar dan bagaimana menguruskannya. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Aku diberikan rasa cinta dari dunia terhadap para wanita dan wewangian dan dijadikan penyejuk mataku ada di dalam solat.” (HR Ahmad, dan Nasa’i. Disahihkan oleh Syeikh Al-Albani). Baginda juga menggambarkan bahawa sebaik-baik perhiasan di dunia ini ialah wanita yang solehah. Dalam sebuah hadis dari ‘Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dunia ini adalah perhiasan/kesenangan dan sebaik-baik perhiasan/kesenangan dunia adalah wanita yang solehah.” (HR Muslim,Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad).

Bagaimana pula menjadi wanita solehah? Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW telah memperincikan ciri-ciri wanita solehah dalam pelbagai ayat dan riwayat. Secara ringkasnya, seorang wanita yang solehah ialah mereka yang beriman dan memelihara keimanan mereka kepada Allah SWT tanpa mencampur adukkannya dengan unsur-unsur syirik yang menyesatkan. Mereka juga melaksanakan solat lima waktu tanpa melengah-lengahkannya meskipun diuji dengan haid dan nifas.

Rukun Islam yang lima dilaksanakan dengan baik termasuk berusaha bersungguh-sungguh untuk pergi mengerjakan haji ke tanah suci seawal yang mungkin. Mereka juga menjaga aurat dan maruah yang merupakan mahkota dirinya dengan baik, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 59, “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu”.

Tuntutan menjaga maruah juga seiring dengan tegahan daripada berdua-duaan (berkhalwat) kerana ia boleh menghancurkan maruah seorang wanita sekiranya mereka terjebak ke dalam kancah maksiat. Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seorang wanita itu berkhalwat dengan seorang laki-laki, kecuali syaitan menjadi pihak ketiganya” ( HR Ahmad). Menjaga maruah diri bermula dengan menjaga hati dan pandangan mata dari melihat perkara-perkara yang ditegah agama.

Justeru, sebahagian dari rahmat Allah terhadap hamba-Nya, manusia telah diberikan panduan dalam pengurusan deria penglihatan yang dianugerahkan Allah melalui firman-Nya, “Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.” (al-Nur: 31). Perintah untuk menjaga maruah diri ini umum kepada semua wanita termasuk yang sudah berumahtangga. Di dalam ayat lain, Allah SWT berfirman wanita solehah ialah mereka yang menjaga maruah dirinya ketika ketiadaan suaminya, lalu Allah pelihara maruah mereka (al-Nisa’: 34).

Bagi wanita yang sudah berumahtangga, antara ciri-ciri sebagai perhiasan yang paling indah ialah mereka yag mempunyai kesabaran yang tinggi dalam mengharungi pancaroba rumahtangganya seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA berkata: “Nabi SAW ditanya, ‘Siapakah wanita yang paling baik?’, beliau menjawab: ‘(Sebaik-baik wanita) adalah yang menyenangkan (suami)-nya jika dia melihatnya, mentaati (suami)-nya jika dia memerintahnya dan dia tidak melawan (suami)-nya dalam hal yang dibenci suami pada dirinya dan harta suaminya.” (HR Ahmad, al Hakim, an Nasa’i dan ath Thobrani dan disahihkan oleh al-Albani).

Mutakhir ini, kedengaran suara-suara lantang yang melaungkan slogan-slogan tuntutan kebebasan wanita, emansipasi, persamaan hak antara jantina dalam warisan, perceraian dan pengharaman poligami. Mungkin sebahagian kita tertanya-tanya apakah yang mendorong mereka sanggup berhempas pulas lantang memperjuangkan apa yang didakwa sebagai ‘hak’ asasi wanita (woman’s right). Adakah panduan al-Quran dan Sunnah Nabawi belum cukup memadai untuk membela hak-hak wanita yang dirasakan tertindas? Mengapa mereka seolah-olah tidak cukup bahagia dengan nikmat dan anugerah sedia ada justeru masih ada lagi elemen-elemen kehidupan yang masih perlu dipertikaikan kerana ketidak adilannya?

Jawapan sebenar pada persoalan-persoalan ini ada pada ‘hati’. Setiap insan dianugerahi hati naluri yang suci untuk menerima kebenaran. Hati naluri ini ialah fitrah asal manusia ketika bersaksi di hadapan Allah SWT suatu ketika dahulu ketika berada di alam persinggahan iaitu alam roh, sebelum ditiup ke alam dunia. Allah telah berfirman, “…Tidakkah Aku Tuhanmu? Mereka semua menjawab, ‘Benar (Engkaulah Tuhan kami) kami menjadi saksi’. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak, ‘Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”. (al-A’raf, 172).

Hati naluri ini jika disucikan dan dimurnikan dari segala penyakit seperti hasad, riak, dengki, dendam, amarah berpanjangan, iri hati, sombong, bongkak dan penyakit-penyakit lain, ia akan menjadi tempat tercampaknya ilmu dan hidayah dari Allah SWT. Ketika itu, hati menjadi seperti hamparan putih yang dengan mudah dapat membaca warna-warni petunjuk yang tercoret diatasnya. Ayat-ayat Allah tentang wanita solehah dan hadis-hadis nabi tentang panduan-panduan merealisasikannya akan dirasai seperti pelangi indah yang menghiasi taman hatinya. Segala syariat Allah tentang hak wanita dirasakan sebagai pembela sebenar keadilan dan martabat wanita agar menjadi makhluk Allah yang mulia lagi terhormat, dikasihi lagi disayangi, sesuai dengan fitrahnya sebagai “seindah-indah perhiasan dunia”.

Justeru penulis mengajak diri sendiri dan para pembaca untuk sama-sama bermujahadah memurnikan hati dari segala penyakitnya, agar kita semua tergolong dari kalangan orang-orang yang beriman yang sentiasa beroleh ketenangan hakiki di dunia dan di akhirat kelak, amin. – MAJALAH DAKWAH

Dr. Raudlotul Firdaus Fatah Yasin  ialah pensyarah di Jabatan al-Quran dan Sunnah, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *