Home » Citra Yadim » Perjalanan Lapan Jam Dalam Program Dakwah Pedalaman Sarawak

Perjalanan Lapan Jam Dalam Program Dakwah Pedalaman Sarawak

KAPIT – Perlu menempuh perjalanan enam hingga lapan jam merentasi jalan balak dan sungai sebelum tiba di lokasi program di Long Busang, Belaga, Kapit.

Dengan kedudukan kira-kira 200 kilometer dari Pekan Kapit, perjalanan ke penempatan pedalaman itu bergantung kepada keadaan cuaca dan laluan, sama ada menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4×4), perahu, atau helikopter bagi keperluan tertentu.

Cabaran tersebut bagaimanapun tidak menghalang YADIM Negeri Sarawak bersama Bahagian Kemajuan Saudara Kita, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), HIKMAH Sarawak, Tabung Baitulmal Sarawak dan Urusetia Saudara Kita melaksanakan Program Sentuhan Kasih Dakwah Luar Bandar Saudara Kita di Long Busang pada 29 Julai hingga 3 Ogos.

Long Busang merupakan sebuah penempatan masyarakat Orang Ulu daripada suku Kenyah Badeng yang masih kekal mendiami kawasan hulu Sungai Balui di sekitar Empangan Bakun dan tidak dipindahkan ketika pembinaannya. Dikelilingi hutan hujan Borneo yang masih terpelihara, komuniti di sini terdiri daripada masyarakat beragama Islam dan Kristian yang hidup harmoni sambil mengekalkan adat serta budaya Kenyah Badeng. Kehidupan mereka banyak bergantung kepada pertanian, hasil hutan dan perikanan sungai.

Sepanjang empat hari tiga malam program berlangsung, pelbagai pengisian telah diadakan bagi mendekati komuniti setempat serta memperkukuh kefahaman agama dalam kalangan saudara kita. Antaranya ialah sesi suai kenal bersama komuniti, ceramah agama yang disampaikan oleh Penolong Pengarah YADIM Negeri Sarawak, Daie Muda YADIM Muhammad Luqman Suhairi, kursus Asas Fardhu Kifayah dan Pengurusan Jenazah oleh Bahagian Kemajuan Saudara Kita JAIS, selain pembukaan kaunter perkhidmatan agama oleh Pejabat Agama Islam Bahagian Kapit.

HIKMAH Sarawak turut menjayakan program menerusi pelaksanaan Klinik Bergerak dan sesi sembelihan halal, sekali gus melengkapkan pengisian dakwah dengan perkhidmatan yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.

Selain pengisian berbentuk ilmu, program turut diserikan dengan kunjungan hormat ke Sekolah Kebangsaan Long Busang, solat Jumaat bersama komuniti, ziarah dari rumah ke rumah, penyampaian bakul makanan kepada saudara kita, aktiviti mewarna kanak-kanak, kuiz berkumpulan, gotong-royong membersihkan masjid serta sukaneka yang mengeratkan hubungan antara agensi pelaksana dan penduduk setempat.

Delegasi YADIM Negeri Sarawak diwakili oleh(Penolong Pengarah YADIM Negeri Sarawak,

Encik Amir Hafiz Anuar, DMY Muhammad Luqman Suhairi, Penolong Pegawai YADIM Negeri Sarawak, Ustaz Mohd Subri Haji Rafaee dan Penyelia Daie YADIM Negeri Sarawak, Encik Awang Mohammad Nurhafiezzani Awang Basri.

Kehadiran pelbagai agensi melalui Program Sentuhan Kasih Dakwah Luar Bandar Saudara Kita bukan sahaja membawa pengisian ilmu dan kebajikan, malah mengukuhkan hubungan dengan masyarakat setempat serta membuka ruang untuk memahami keperluan mereka dengan lebih dekat.

YADIM Negeri Sarawak merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan individu yang berganding bahu menjayakan program ini. Semoga segala usaha yang dicurahkan menjadi asbab kepada manfaat yang berpanjangan buat komuniti Long Busang serta diberkati Allah SWT.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *