Home » Langit Terbuka » Perjalanan suci mencari reda Allah – Rashidah Jaafar

Perjalanan suci mencari reda Allah – Rashidah Jaafar

ANGGOTA Rombongan Umrah Penggiat Seni 2.0 selamat tiba di Madinah semalam. - Foto UTUSAN

MADINAH 9 April – Lebih 20 tahun bergelar ibu tunggal dan menyara keluarga dengan hasil berlakon, diberi kesempatan menunaikan umrah buat kali pertama merupakan sesuatu yang paling berharga dalam hidup Rashidah Jaafar.

Kata pelakon ini, sepanjang bergelar anak seni lebih tiga dekad, tidak mudah buat dirinya untuk mengerjakan umrah lebih awal lantaran kekangan kewangan.

Mempunyai lima anak hasil daripada dua perkahwinan terdahulu iaitu dengan Nasir Tan Sri P. Ramlee dan komposer A. Ali, Rashidah, 55, memelihara kelima-lima mereka seorang diri.

“Saya adalah ibu dan juga ayah buat mereka. Kerana tanggungjawab ini, tidak mudah bagi saya untuk menunaikan umrah kerana faktor kewangan.

“Justeru, saya sangat bersyukur apabila pihak Yayasan Perpaduan Ummah (YPU) memberi peluang kepada saya untuk mengerjakan ibadah ini buat kali pertama.

“Tidak tergambar rasa seronok dan indahnya perasaan apabila kali pertama menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi di Madinah. Saya anggap ia satu perjalanan suci bagi saya untuk mencari reda dan rahmat Tuhan,” kata Rashidah yang tidak henti-henti mengucapkan syukur di atas peluang yang diberi oleh YPU ini.

Rashidah merupakan antara penggiat seni dan atlit kebangsaan yang terpilih untuk mengerjakan umrah menerusi Program Umrah Penggiat Seni 2.0 yang dianjurkan oleh Pejabat Penasihat Perdana Menteri, YPU dan Yayasan Mustika Kasih.

Selain Rashidah, turut terpilih menyertai rombongan ini ialah penyanyi Amir Ukays, Hisham Ahmad Tajuddin,  Zulkifli Abdul Ghani, Masitah Md. Isa, Sapri Ibrahim, bekas pemain bola sepak negara, Syed Ahmad Abu Bakar, Rameli Manap dan Ramliee Ahmad. – UTUSAN

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *