Home » Langit Terbuka » Perketat peraturan sewa bilik hotel bajet

Perketat peraturan sewa bilik hotel bajet

Gambar hiasan

SEREMBAN: Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan untuk memperketat peraturan sewaan bilik di hotel bajet bagi mengelakkannya daripada menjadi tempat remaja melakukan maksiat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias, berkata langkah itu juga bertujuan mengekang kejadian rogol di hotel terbabit.

Ketika ini, katanya, hotel bajet memiliki kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mengikut syarat ditetapkan.

“Seperti diketahui, tidak ada syarat umur untuk menyewa di hotel bajet. Biarpun begitu, kita sedia maklum premis itu sering dijadikan lokasi maksiat dan tindakan harus diambil,” katanya.

Beliau mengulas laporan media hari ini mengenai seorang remaja perempuan yang juga pelajar sebuah kolej di Seremban mendakwa dirogol remaja lelaki sebayanya baru dikenali dua hari di sebuah hotel bajet di Senawang.

Dalam kejadian Sabtu lalu itu, mangsa dikatakan keluar dari hostel di Taman Bukit Delima di sini tanpa pengetahuan warden bagi bertemu remaja lelaki berkenaan.

Mangsa ditemani dua rakan perempuan bertemu remaja lelaki itu di Uptown Senawang pada jam 10 malam Sabtu lalu, dan mereka dikatakan makan malam bersama sebelum bersiar-siar.

Selepas penat berjalan, ketiga-tiga remaja perempuan terbabit dibawa ke bilik sebuah hotel bajet di Senawang untuk berehat.

Mangsa mendakwa pada kira-kira jam 2 pagi, dia dipeluk remaja lelaki terbabit dan cuba melawan serta menjerit meminta tolong dua rakan yang tidur di katil sebelah, namun mulutnya ditutup lelaki berkenaan.

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, kemungkinan remaja bawah umur yang mahu menyewa di hotel bajet perlu diiringi ahli keluarga dewasa atau ibu bapa.

“Kerajaan negeri berharap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Majlis Agama Islam negeri (MAINS) kerap melakukan pemeriksaan di hotel bajet bagi membendung maksiat dalam kalangan remaja Islam,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *