PROGRAM YADIM Kader Dakwah: Perkhemahan Kepimpinan Cilik Madani Peringkat Negeri Kedah 2025 telah berlangsung di Kem KEDA Resort Bendang Man, Sik Kedah pada 6 dan 7 Ogos.
Ia menghimpunkan 100 orang pelajar dari 10 buah sekolah yang mewakili tujuh daerah di seluruh Kedah. Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman para pesertanya berkaitan cinta kepada negara Malaysia dan menghargai nilai Madani.
Program yang bermula pada 6 Ogos ini telah diselia oleh Tuan Haji Mohamad Amin Bakar selaku ketua sekretariat Perkhemahan Kepimpinan Cilik Madani Peringkat Negeri Kedah 2025.
Mantan Presiden Rakan Siswa YADIM Institut Pendidikan Guru Sultan Abd Halim, Cikgu Bilal Khossim telah dijemput untuk memberi pengisian dalam slot ‘Pemimpin Cilik Karamah Insaniah Dan Munajat Kasih’.
Pengarah YADIM Negeri Kedah dan Perlis, Dr. Ahmad Mujahid Abdullah pula telah menyampaikan ucapan perasmian penutup pada 7 Ogos seterusnya mnyempurnakan gimik kibaran Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan 2025.
Turut hadir menjayakan majlis penutup tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Haji Mahir Mohamad dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Pendang, Haji Ahmad Zamberi Ahmad.



KOMEN