Home » Langit Terbuka » PERKIM fokus aktiviti kebajikan

PERKIM fokus aktiviti kebajikan

PERKIM Bahagian Sarawak kini semakin berkembang, bermula dengan hanya sebuah cawangan, kini ia mempunyai 19 cawangan di seluruh Sarawak dengan 4,818 ahli, jelas Pengerusinya.

KUCHING – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Sarawak memberi fokus utama kepada program dakwah ke arah memperkasa umat Islam dan aktiviti kebajikan sebagai agenda utama sepanjang kewujudannya selama 30 tahun di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Hanifah Taib Alsree berkata, antara aktiviti kebajikan berkenaan termasuk bantuan kewangan, kos rawatan dan bantuan kepada golongan miskin.

“PERKIM juga sudah membiaya ramai pesakit buah pinggang tidak berkemampuan yang memerlukan rawatan dialisis,” katanya pada sidang media sempena Seminar An-Nisa Asas Kecemerlangan.

Menurutnya, PERKIM Bahagian Sarawak kini semakin berkembang, bermula dengan hanya sebuah cawangan, kini ia mempunyai 19 cawangan di seluruh Sarawak dengan 4,818 ahli.

“Cawangan PERKIM yang ditubuhkan di Kuching, Kota Samarahan, Sebuyau, Serian, Lundu, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Belawai, Bintulu, Mukah, Balingian, Dalat/Oya, Kuala Igan, Matu, Miri, Bekenu, Limbang dan Lawas bergerak aktif sejajar dengan objektif pertubuhan ini.

“Kami juga mewujudkan perantaraan dan kerjasama dengan pertubuhan dan badan Islam lain demi kemajuan agama Islam di Sarawak,” katanya.

Aktiviti PERKIM Bahagian Sarawak dibiayai sepenuhnya oleh sumbangan ikhlas orang ramai serta penderma kalangan sektor korporat dan agensi kerajaan.

PERKIM Bahagian Sarawak ditubuhkan pada Februari l989 oleh Allahyarhamah Datuk Patinggi Laila Taib dengan objektif utama menjalankan aktiviti kebajikan, amal jariah, dakwah dan pendidikan. – Harian Metro

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *