Home » Langit Terbuka » Perlu ada panduan jelas hukum boikot produk berkaitan Israel

Perlu ada panduan jelas hukum boikot produk berkaitan Israel

Gambar Hiasan.

Kuala Lumpur: Satu garis panduan yang jelas perlu dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Jabatan Mufti bagi membantu golongan pendakwah dan agamawan agar selari dalam menentukan hukum membabitkan boikot produk berkaitan Israel.

Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari, Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berkata, ketika ini terlalu ramai pihak yang bukan berautoriti bercakap isu itu sehingga mengelirukan masyarakat.

“Sejak Israel melancarkan perang terhadap Palestin, kita mengambil pendekatan untuk boikot semua produk yang ada kaitan dan secara terbuka menyokong perbuatan Zionis.

“Bagaimanapun, perkara ini menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, agamawan dan pakar ekonomi apabila ada syarikat beroperasi secara francais.

“Syarikat itu membayar fi dan yuran tertentu kepada pihak berwajib di negara pengeluar dan negara luar itu pula mengisytiharkan mereka mempunyai sumbangan kepada Israel.

“Perkara ini menyebabkan kekeliruan sedangkan produk francais itu mempunyai sijil halal Malaysia. Pada masa sama, produk ini dijual oleh umat Islam, termasuklah syarikat yang beroperasi di Malaysia ini juga antara penyumbang terbesar zakat di negeri-negeri.

“Jadi saya menyokong penuh jika Jabatan Mufti dan semua pihak berwajib mengeluarkan garis panduan yang jelas bagaimana cara kita menghadapi produk yang mempunyai hubungan sama ada rasmi atau tak rasmi dengan Israel,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, garis panduan itu perlulah disepakati oleh semua pihak agar tidak ada lagi sebarang kenyataan bercanggah membabitkan isu boikot.

“Sekarang ini semua orang bercakap mengenai boikot hingga mengeluarkan hukum. Pihak atau mana-mana individu ini pula bukanlah orang yang ada autoriti. Ia mengelirukan masyarakat awam.

“Justeru, dengan adanya garis panduan ini saya mohon sangat dan bersetuju jika semua pihak bersepakat supaya pendapatan kerja atau jual beli yang dilakukan oleh umat Islam di negara ini lebih jelas dan disepakati hukumnya,” katanya. – Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *