Home » Langit Terbuka » Perluas gerakan dakwah melalui pelbagai medium

Perluas gerakan dakwah melalui pelbagai medium

Ikon Dakwah YADIM 2021 - 2022 bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

PUTRAJAYA – Gerakan dakwah perlu dijalankan secara berterusan melalui pelbagai medium bagi memantapkan akidah umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Haji Idris bin Haji Ahmad, berkata kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membabitkan masyarakat Melayu terutama di bandar mendapati segelintir mereka cenderung menganggap pegangan agama Islam sudah tidak bermakna lagi.

Beliau berkata, sekiranya trend itu berlaku secara berleluasa, suatu hari nanti mereka berkemungkinan menganggap perkara seperti perkahwinan itu tidak lagi perlu antara pasangan yang beragama Islam sahaja, sebaliknya boleh dengan penganut agama berlainan.

Katanya, perkara yang boleh mengelirukan orang ramai tidak perlu dibincangkan kerana ia akan menyebabkan masyarakat beranggapan pegangan agama sudah tidak penting dalam hidup.

“Berikutan itu kami berharap Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) sebagai agensi bawah Bahagian Hal Ehwal Agama perlu bergerak seiring menggunakan beberapa figura terkenal yang kita anggap penting, bagi melestarikan dakwah dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Webinar Pemantapan Akidah Nusantara dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ikon Dakwah YADIM di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Webinar bertemakan Akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah Pemangkin Masyarakat Islam Di Rantau Asia Tenggara anjuran YADIM itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai isu semasa berkaitan akidah.

Idris berkata, pelantikan ikon YADIM adalah satu lagi usaha melestari gerakan dakwah menerusi tokoh yang dikenal pasti sebagai figura yang dapat memberi imej positif kepada masyarakat.

Katanya, ikon berperanan sebagai duta YADIM bagi mengerakkan program pembangunan dakwah serta membantu mengimarahkan aktiviti dakwah melalui pelbagai saluran media.

Pada majlis sama, Idris turut menyampaikan sembilan Watikah Pelantikan Ikon Dakwah YADIM kepada penerima terdiri daripada pendakwah bebas dan pakar motivasi, Datuk Dr Fadzilah Kamsah dan pendakwah bebas, Datuk Dr Abdul Basit Abdul Rahman.

Turut menerima watikah, pendakwah yang juga Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah serta pendakwah Mohd Norhisyam Tuan Padang, Wan Hilmy Wan Mohamed, Isfadiah Mohd Dasuki, Juara Tilawah dan Menghafal Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut, pendakwah, Ahmad Dusuki Abd Rani dan Mohamad Wadi Annuar Ayub.

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *