Home » Langit Terbuka » Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama: ‘Pemimpin punya tanggungjawab moral perbaiki perpecahan dalam masyarakat’ – PM

Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama: ‘Pemimpin punya tanggungjawab moral perbaiki perpecahan dalam masyarakat’ – PM

Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 berlangsung hari ini di Petaling Jaya dengan menarik penyertaan hampir 2,000 ulama dan cendekiawan dari 57 negara.

KUALA LUMPUR: Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 berlangsung hari ini di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, dengan menarik penyertaan hampir 2,000 ulama dan cendekiawan dari 57 negara.

Disifatkan sebagai persidangan antarabangsa ketua-ketua agama paling penting dianjurkan oleh benua Asia, program dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dihadiri Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam, Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa.

Dalam prakata buku acara, Perdana Menteri berkata, tema persidangan ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’ sangat penting memandangkan ia satu daripada isu mendesak pada masa ini dengan pandangan hidup yang dikaitkan dengan ketidaksepakatan, perselisihan dan perpecahan.

“Di sebalik kemajuan globalisasi dalam setengah abad ini dan penggunaan internet yang meluas, kita menyaksikan perpecahan meningkat dalam masyarakat. Tiada suatu hari pun yang berlalu tanpa kita mendengar tentang konflik komunal, agama mahupun politik,” katanya.

Anwar berkata, muhasabah diri yang jujur terhadap kekurangan masa lalu adalah satu-satunya cara untuk ke hadapan, manakala cabaran sosioekonomi yang menjadi punca ketidakpuasan hati pada masa ini perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh, telus serta saksama.

Menurutnya, pemimpin mempunyai tanggungjawab moral untuk memperbaiki perpecahan yang wujud dalam kalangan masyarakat menerusi nilai-nilai sejagat dan egalitarianisme serta pemikiran sempit perlu diganti dengan kemajuan fikiran.

“Kita mesti melangkaui perbezaan pada zahir seperti warna kulit, bahasa yang kita tuturkan dan agama yang kita anuti,” katanya sambil menambah kepimpinan sejati terletak pada kemampuan untuk melihat melangkaui perbezaan terbabit.

Anwar turut yakin bahawa landskap kepelbagaian sosial Malaysia bertepatan dengan persidangan berkaitan persefahaman dan perpaduan itu.

Persidangan sehari ini akan disusuli dengan Persidangan Majlis Ulama Asia di Hotel Mandarin Oriental di sini, esok. Kedua-dua persidangan dianjurkan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama MWL. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Kesempurnaan cinta kemanisan iman

Dari Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda: :عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ

Siapakah Ibnu Batutah?

Ibnu Batutah adalah tokoh muslim asal Moroko yang lahir tahun 1304 M dan suka melakukan pengembaraan ke berbagai penjuru dunia. Nama penuhnya,

Sang Pengiring Muhammad SAW

Abu ‘Abd Allah Zubair ibn al-Awwam adalah seorang sahabat Rasulullah SAW. Beliau merupakan salah seorang “mubasyirin bil-jannah” (sepuluh sahabat yang dijamin masuk

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *