Home » Langit Terbuka » Pertemuan Anwar, Sheikh Mohammed medan terbaik Malaysia fahami situasi terkini di Gaza

Pertemuan Anwar, Sheikh Mohammed medan terbaik Malaysia fahami situasi terkini di Gaza

Gambar ARKIB. Sumber: BERNAMA

DOHA: Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawat Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani pada Isnin ini, dijangka menjadi medan terbaik untuk Malaysia memahami perkembangan terkini di Gaza yang disifatkan semakin meruncing susulan kekejaman berterusan rejim Zionis.

Kali terakhir kedua-duanya bertemu adalah ketika lawatan rasmi Anwar ke Riyadh, Arab Saudi bulan lepas, yang turut berkisar mengenai konflik berkenaan.

Duta Besar Malaysia ke Qatar Zamshari Shaharan berkata Malaysia melihat peranan Qatar sangat signifikan dalam konflik terbabit memandangkan negara Asia Barat itu merupakan ‘orang penting’ dalam rundingan antara Palestin dan Israel.

“Mereka (Qatar) cuba memainkan peranan sebagai mediator, mungkin tanggapan (sesetengah pihak), sibuk sahaja, di mana ada krisis, di situlah mereka (Qatar), tetapi mereka percaya pada dialog. Mereka cuba mengadakan dialog, bercakap dan mencari ke arah jalan penyelesaian yang kekal iaitu genjatan senjata kekal.

“Dasar mereka ialah untuk berdialog dan diplomasi pencegahan…,” katanya sambil menekankan bahawa Malaysia mahu melihat satu jalan penyelesaian (dalam isu konflik Palestin-Israel) terutama menerusi rundingan tersebut.

Zamshari berkata pertemuan kali ini juga dilihat sebagai kemungkinan untuk Malaysia bersama-sama dengan Qatar menyalurkan bantuan terutama dengan pihak Qatar menjadi harapan dalam rundingan berkenaan.

“Qatar sendiri menyediakan air bridge iaitu mengadakan saluran bantuan secara langsung daripada Doha ke (Pelabuhan) Al-Arish (Mesir) untuk menyelaras bantuan mereka dan dalam perbincangan saya dengan pegawai-pegawai kanan di sini, mereka bersedia untuk membantu Malaysia bersama-sama menyalurkan bantuan kemanusiaan melalui saluran yang telah mereka sediakan dan terbina selama beberapa bulan sejak krisis berlaku,” katanya kepada pemberita di Kedutaan Malaysia, di sini.

Perdana Menteri yang dijangka tiba di Doha malam ini, akan memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke negara Asia Barat itu atas jemputan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani selain menghadiri Forum Ekonomi Qatar.

Terdahulu, Anwar menzahirkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Qatar dan negara lain di rantau Asia Barat bagi memberikan rawatan kepada rakyat Palestin yang cedera akibat keganasan rejim Zionis, ketika pertemuan beliau dengan Sheikh Mohammed yang juga Menteri Luar Qatar itu di Riyadh.

Pada pertemuan itu, Anwar turut menyatakan sokongan terhadap peranan Qatar sebagai pengantara dalam isu Palestin, selain memaklumkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Setakat bulan lepas, Malaysia telah menerbangkan 100 tan barangan bantuan ke kawasan dilanda konflik itu, 20 tan lagi dihantar menerusi jalan laut manakala 1,500 tan diagih melalui badan bukan kerajaan.

Terkini, Malaysia menerusi satu kenyataan dikeluarkan Wisma Putra pada Sabtu (11 Mei), mengalu-alukan  Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa Majlis Keselamatan PBB mempertimbangkan semula permohonan Palestin sebagai Anggota Penuh PBB, selepas permohonan tersebut digagalkan oleh satu undi veto pada bulan lepas.

Resolusi berkenaan diluluskan semasa Sesi Kecemasan Khas Ke-10 di Perhimpunan Agong PBB pada 10 Mei tahun ini telah disokong oleh 143 negara, sembilan menentang dan 25 berkecuali.

Justeru, Wisma Putra berkata Malaysia akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara serta kemasukan Palestin sebagai anggota penuh PBB.

Pertempuran antara Palestin dan Israel, yang kini memasuki tempoh lebih tujuh bulan sejak 7 Okt tahun lepas, telah meragut lebih 34,000 nyawa rakyat Palestin.–AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *