Home » Langit Terbuka » Pertimbang subsidi bersasar jemaah haji

Pertimbang subsidi bersasar jemaah haji

Kos kenaikan bagi menunaikan Ibadah Haji turut berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan kerajaan Arab Saudi - Foto AFP

BAGI rakyat Malaysia yang sepatutnya dapat menunaikan haji dua tahun lalu, langkah kerajaan Arab Saudi memberi kebenaran kepada jemaah dari negara luar untuk menunaikan Rukun Islam kelima pada tahun ini adalah berita yang cukup menggembirakan mereka.

Pengumuman Arab Saudi bahawa sejuta umat Islam dapat ke Makkah kali ini juga adalah berita yang melegakan berbanding keputusan sebelum ini yang hanya membenarkan 65,000 jemaah haji domestik disebabkan kekangan Covid-19..

Rata-ratanya sudah pasti mengharapkan peluang untuk ke Tanah Suci pada tahun ini memandangkan mereka sudah menabung sejak sekian lama di Lembaga Tabung Haji (TH).

Namun ketika ini isu kos mengerjakan haji menjadi topik tumpuan apabila dilaporkan bahawa kos sebenar meningkat sehingga RM25,000 berbanding jumlah sebanyak RM22,900 pada tahun 2019.

Disebabkan peningkatan tersebut, terdapat jangkaan mengatakan bahawa kos yang dibayar jemaah muassasah sejak 13 tahun lalu iaitu sebanyak RM9,980 tidak dapat dikekalkan kerana TH perlu menanggung kos yang tinggi bagi setiap jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad pula berkata, kerajaan akan menetapkan jumlah subsidi yang akan diberikan tahun ini selepas mendapat jumlah sebenar kuota jemaah haji yang akan diumumkan oleh Arab Saudi.

Oleh itu, bagi mengelakkan tanggungan subsidi yang tinggi, TH perlu mempertimbangkan cadangan pemberian subsidi secara bersasar mengikut kategori jemaah.

Antara yang boleh dipertimbangkan ialah kos bagi jemaah yang datang daripada keluarga susah yang telah mengumpulkan wang sejak sekian lama dikekalkan pada harga RM9,980.

Bagi jemaah golongan pertengahan dan atasan pula dikenakan kenaikan bayaran berdasarkan peratusan munasabah yang tidak membebankan jemaah dan TH.

Pelaksanaan kos baharu itu juga perlu diumumkan segera supaya jemaah yang terlibat dapat membuat persiapan lebih awal dari sudut kewangan dan tidak menimbulkan kesulitan kepada mereka. – Kumpulan Karangkraf

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *