Home » Citra Yadim » Peruntukan dana NGO Islam boleh ditambah

Peruntukan dana NGO Islam boleh ditambah

Syed Hussien (tengah) dan Nik Omar (kiri) semasa Majlis Penyampaian Pembiayaan Program dan Aktiviti Tahunan NGO Islam Tahun 2019 Wilayah Pesekutuan.

KUALA LUMPUR – Bergantung kepada keberkesanan dan pro aktifnya sesebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam itu, dana tahunan yang diterima daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) boleh ditambah pada masa akan datang.

Menurut Pengerusi MAIWP, YBhg. Dato’ Sri Syed Hussien Abd Kadir, NGO NGO Islam di Wilayah Persekutuan yang aktif, memenuhi kriteria ditetapkan, selain menjalankan program yang benar benar berkesan, akan dipertimbangkan untuk menerima tambahan dana pada masa akan datang.

“Sumbangan dana kepada NGO NGO ini kita laksanakan setiap tahun, untuk membantu mereka menjalankan program masing masing menyantuni golongan sasar mereka.

“Ada yang terima RM20,000, ada RM30,000 ada yang RM100,000. Jika kita lihat sesuai dengan keperluan mereka, dan dapat ditunjukkan program yang dilaksanakan benar benar memberikan impak, kita mungkin boleh tambah jumlah dana yang disumbangkan

“Selepas enam bulan, mereka ini perlu laporkan program masing masing, justeru di sana nanti kita  boleh lihat apa perkembangan yang berlaku” ujar beliau.

Syed Hussien berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Pembiayaan Program dan Aktiviti Tahunan NGO Islam Tahun 2019 Wilayah Persekutuan di sini hari ini (14 Mei). Hadir sama ialah, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz bin Jusoh serta Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz, serta kepimpinan kedua agensi berkenaan.

Dana berjumlah RM2,190,000 diserahkan kepada YADIM selaku penyelaras NGO Islam yang kemudiannya mengagihkannya kepada 40 NGO terpilih.

Pengagihan dana bagi tahun 2019 ini telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal Bil.3/2019 yang telah bersidang pada 29 Mac 2019 yang lalu.

Antara NGO yang menerima sumbangan hari ini ialah seperti Majlis Belia Malaysia, Yayasan Wanita Islam, Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Yayasan Hikmah, Gabungan Dakwah Malaysia, Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah dan sebagainya.

Dalam pada itu menurut Syed Hussien, NGO terpilih hari ini diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan dan penyebaran dakwah di negara ini.

Menurutnya, mereka ini bertindak selaku rakan stretaegik kepada MAIWP dan YADIM, seterusnya bertanggungjawab menyampaikan hasrat dan dasar yang ingin disampaikan oleh kedua badan kerajaan ini.

Sementara itu Nik Omar pula berkata, kesemua yang terpilih ini melalui proses pemilihan yang ketat bagi memastikan hanya yang benar benar layak sahaja menerima peruntukan itu.

“Antara kriteria yang kita ambil kira ialah aspek pengurusan mereka, laporan perkembangan program serta golongan sasar masing masing, justeru kita pilih 40 daripada lebih 100 yang memohon.

“Kita mahu pastikan penyaluran dan penggunaan dana ini nanti benar benar telus, MAIWP dan YADIM menganggap kewujudan NGO ini penting, dan diharap mereka akan dapat main peranan dalam dunia yang semakin mencabar.

“Kalau kita lihat di negara maju, NGO ini memainkan peranan begitu penting dalam menentukan hala tuju sesebuah negara itu,” jelasnya.

Artikel Berkaitan

Ulama galakkan kesederhanaan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Majlis Ulama Asia memainkan peranan penting dalam mempromosi kesederhanaan melalui tafsiran teks agama yang seimbang, memperjuang toleransi dan membimbing umat

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *