Home » Langit Terbuka » Peruntukan Negeri Pembangkang Hanya Ditangguh – TPM

Peruntukan Negeri Pembangkang Hanya Ditangguh – TPM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, peruntukan kepada negeri pembangkang hanya ditangguhkan buat seketika kerana terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

SHAH ALAM – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan dakwaan Kerajaan Persekutuan membekukan peruntukan untuk pembangunan kampung di negeri pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, peruntukan kepada negeri pembangkang hanya ditangguhkan buat seketika kerana terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) sendiri sudah maklumkan peruntukan kepada negeri pembangkang perlu diuruskan Pegawai Pembangunan Negeri.

“Kalau ada pihak cakap kita bekukan peruntukan kepada negeri pembangkang, tuduhan itu tidak betul. Kita tidak akan diskriminasi, kita bagi semua negeri.

“Kita bukan seperti kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak berlaku adil serta meminggirkan Selangor dan Pulau Pinang.

“Amalan kerajaan terdahulu ialah peruntukan untuk negeri pembangkang diberikan kepada Ketua Bahagian UMNO. Kita tidak mahu kaedah seperti ini diteruskan, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) di Dataran IDE, Seksyen 15 di sini, hari ini. Hadir sama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif IDE, Prof Datuk Dr Redzuan Othman.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun, sebelum ini memaklumkan, pemberian geran sehingga RM100 juta untuk membiayai program kesejahteraan dan keceriaan kampung hanya akan diberikan kepada negeri yang ditadbir PH.

Katanya, buat masa kini, ia tertakluk kepada kampung yang ada di bawah PH dan mekanisme itu akan dikaji semula untuk negeri yang bukan di bawah PH.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, meminta kementerian berkenaan menarik balik keputusan itu.

Katanya, peruntukan berasingan untuk negeri yang diketuai pembangkang tidak akan membezakan Malaysia baharu dengan pentadbiran lama di bawah BN. – BERITA HARIAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *