Home » Langit Terbuka » Perutusan Hari Arafah dan Hari Raya Aidil Adha 1440 H – Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR-YADIM )

Perutusan Hari Arafah dan Hari Raya Aidil Adha 1440 H – Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR-YADIM )

Dr Hafidzah Mustakim Pengerusi Mawar-Yadim

Hari Arafah : Deklarasi Kemanusiaan dan Kekeluargaan

Hari ini 9 Zulhijjah , Jemaah Haji dari serata dunia berhimpun dalam satu perhimpunan terbesar manusia sedunia di Padang Arafah. Wukuf di Arafah disyariatkan Allah sebagai manasik terpenting haji ; tanpa wukuf ibadah haji menjadi sia-sia kerana Rasulullah SAW ketika ditanya mengenai ibadah haji bersabda: Haji itu adalah Arafah.

Perhimpunan tahunan ini menyaksikan Muslim yang mengerjakan haji tidak mengira bangsa, bahasa dan warna kulit berpakaian serba putih mengenakan pakaian ihram, berwukuf dan berhenti sejenak di Padang Arafah. Semuanya adalah hamba di sisi Yang Maha Pencipta ; tiada yang lebih mulia dari yang lain melainkan darjah ketakwaannya kepada Allah. Peristiwa ini memberi satu isyarat penting yang diulang-ulang saban tahun bahawa kita semua hakikatnya adalah sama di sisi Allah. Tiada satu kaum atau bangsa yang layak mendabik dada mengatakan merekalah yang lebih mulia.

Akhir-akhir ini kita melihat dan merasakan bahawa api perkauman kembali ditiupkan ke dalam masyarakat oleh sesetengah pihak untuk tujuan tertentu. Mawar-Yadim prihatin dan merasa gusar akan bahaya sentimen perkauman ini dibesar-besarkan. Cukuplah bagi kita akan pesanan Rasulullah SAW apabila baginda berkhutbah di Padang Arafah lebih dari 14 abad yang lalu dalam peristiwa Haji Wada’ yang antara kandungannya menyebutkan,

“Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh. Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. “

Dalam khutbah Hujjatul Wada, Rasulullah SAW juga menyebut hak wanita dan lelaki dalam hubungan suami isteri dan masyarakat. Baginda SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai manusia! Kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan mereka pula mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.”

Asas perhubungan suami dan isteri di gariskan dengan jelas untuk ikutan semua manusia ; Suami diperintahkan untuk memberikan nafkah zahir dan batin dalam suasana kasih sayang sementara isteri wajib taat kepada suami dan menjaga maruah diri. Wanita juga tidak boleh dijadikan hamba dan ditindas dalam institusi kemasyarakatan. Sikap rahmah merangkumi kasih saying dan belas kasihan amat perlu kita terapkan dalam hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Khusus bagi kaum wanita, bulan Zulhijjah dan Hari Raya korban adalah kesempatan yang paling baik untuk kita mendidik anak-anak agar menjadi muslim dan mukmin yang sebenar.

Peribadi mukmin ini adalah orang yang kukuh keyakinannya kepada Allah, benar ibadahnya dan mulia akhlaknya. Merekalah orang yang akan mengagungkan Allah dan sentiasa mengutamakan cara hidup yang benar dalam semua aspek kehidupan. Sama ada kita berkemampuan untuk menjalankan ibadah korban atau kita menontonnya di kaca-kaca televisyen, ambillah kesempatan yang berharga ini untuk menceritakan kisah di sebalik ibadah korban itu sendiri.

Kisah keluarga Nabi Ibrahim dipenuhi dengan kisah pengorbanan. Bermula dengan kisah Siti Sarah berkorban jiwa dan perasaan mengizinkan suami tercinta mengahwini Siti Hajar , disambung pula kisah agung pengorbanan Siti Hajar menerima ketentuan Allah ditinggalkan suami bersama anak kecilnya Ismail di bumi gersang Mekah. Peristiwa Hajar berulang alik dari Safa ke Marwah mencari air untuk anaknya Ismail merupakan landasan disebalik ibadah saie.

Namun yang meruntun jiwa adalah bagaimana Hajar walaupun sering berseorangan , berjaya mendidik anaknya Ismail menjadi anak yang begitu taat kepada perintah Allah ke tahap sanggup mengorbankan nyawanya sendiri . Tentunya semua ini ditunjangi oleh pengorbanan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan tugas kenabian termasuk dalam mendidik ahli keluarganya utk beriman dan tunduk kepada ketentuan Allah yang maha kuasa .

Manasik haji mengabadikan kisah keluarga ini untuk menjadi ikutan sepanjang zaman. Bagi kita wanita akhir zaman cukuplah kisah Sayyidatuna Sarah dan Hajar ini sebagai pembuktian bagaimana Islam memartabatkan wanita , mengiktiraf peranan mereka dalam semua ruang lingkup kehidupan sebagai individu, anggota keluarga dan ahli dalam masyarakat.

Ibadah wukuf di Arafah jua mengingatkan kita agar sentiasa bersedia menunggu saat kita dikembalikan kepada Allah dengan bersungguh-sungguh menjalankan peranan kita sebagai hamba dan khalifahNya . Untuk kembali sebagai hamba yang di redhaiNya , kita mestilah bersedia untuk membuang segala sifat keangkuhan dan kesombongan dalam diri kita sendiri . Barulah kita layak menjadi Khalifah yang boleh memakmur dan menguruskan bumi Allah ini dengan adil lagi benar. Hakikatnya terlalu banyak persamaan antara kita sesama makhluk supaya kita bersatupadu berbanding perbezaan yang berupaya memecahbelah dan memporak perandakan kita.

Sempena Hari Raya Aidil Adha ini, Mawar-Yadim menyeru kaum wanita dan seluruh rak yat Malaysia mempromosikan nilai-nilai pengorbanan, kebaikan , kebenaran dan keadilan di kalangan anak-anak, ahli keluarga dan anggota masyarakat. Marilah kita tolak budaya kata mengata , rendah merendahkan mahupun cemuh mencemuh sesama kita. Jagalah akhlak dalam semua keadaan termasuklah ketika berinteraksi di laman sosial. Setiap perkataan dan perbuatan kita akan dipertanggungjawabkan kelak.

Semoga kita menjadi umat yang bersatu di atas kebenaran dan keadilan dan berjaya membawa rahmat dan kebaikan Islam ke bumi Malaysia dan seluruh warganya.

Selamat Hari Raya Aidul Adha
Allahu Akbar. Walillahil Hamd.

Dr Hafidzah Mustakim
Pengerusi Mawar-Yadim
9 Zulhijjah 1440 H/ 10 Ogos 2019

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *