Home » Analitis » Pilih Mentor Terbaik

Pilih Mentor Terbaik

NORMA baharu pasca pandemik Covid-19 bukan ‘kaleng-kaleng’. Sesiapa sahaja perlu berubah mengikut acuan normal baharu jika enggan ketinggalan. Generasi Z atau Zoomers yang lahir antara 1995 – 2010 adalah ‘main player’ dalam era ini yang cukup akrab dengan tekonologi dan gajet canggih, sekali gus perlu memaksimumkan kelebihan yang dimiliki itu.

Apakah ciri-ciri yang perlu dimiliki dan dilengkapkan? Kupasan ini yang dibincangkan dalam program live streaming Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Mutiara Minda bertajuk “Bersediakah Belia Kita Untuk Hadapi Norma Baharu” bersama ahli panel, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha dan Pengarah Urusan Muhd Zuhaili Services & Quran Centre dan MZ Academy – Singapura, Muhammad Zuhaili Sabudin yang dikendalikan oleh Aiman Sufyan Aezman (Daie Aiman) sebagai moderator.

YADIM: Bagaimana melihat perkembangan positif norma baharu kepada golongan belia?
JUFITRI: Ia menjadi ‘game changer’ iaitu mempercepatkan perubahan. Antaranya peningkatan pembelajaran secara online. Kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebelum ini menyebut 80 peratus penggunaan gajet dan sistem dalam talian hanya untuk komunikasi sahaja dan semasa PKP ia meningkat iaitu dimaksimumkan untuk mendapatkan ilmu, idea dan peluang bisnes baharu yang tersedia.

YADIM: Untuk berjaya golongan belia perlu mempunyai mentor yang bertanggungjawab memberi bimbingan dan panduan, sejauh mana kebenarannya?
ZUHAILI: Mentor penting kerana mereka mampu memupuk belia menggunakan peluang tersedia dengan lebih dan teratur. Namun bukan semua mentor boleh jadi yang terbaik, terdapat ciri-ciri yang perlu diutamakan – kasih sayang, keyakinan dengan ilmu yang dimiliki dan pelaksanaan (jangan cakap tidak serupa bikin).

YADIM: Semasa dan pasca Covid-19 ramai belia kehilangan kerja, apakah persediaan yang sepatutnya dibuat?
JUFITRI: Gen Z ialah kumpulan celik Internet dan cukup akrab dengan kecanggihan teknologi semasa. Kena manfaatkannya iaitu lebih kreatif merevolusikan ekonomi sendiri.
MBM pernah menemubual seorang belia yang menjadi pembantu ‘visual’ dengan pendapatannya pada tahun lepas sekitar RM1 juta. Dia yang berusia 30-an memiliki pelbagai kemahiran termasuk menguasai tujuh bahasa dan ICT dengan baik. Macam-macam kerja dia buat, terjemahkan siri televisyen Korea ke bahasa Melayu, freelance dan pelbagai lagi.

Formulanya kena berfikir secara kreatif, tuntut ilmu, multi skill dan networking. Jangan jadi seperti hamster dalam balang kaca yang terkongkong dalam dunianya sahaja tanpa berhubung dengan dunia luar.

YADIM: Pasti hamster tu stress (gelak). Ramai belia yang stres hingga ada membawa kepada kes bunuh diri. Bagaimana cara untuk hadapinya?
ZUHAILI: Bagi uruskan emosi ia perlukan dorongan hebat dari semua pihak, apa yang penting sesuaikan dengan pemikiran mereka. Banyak keadaan, pandangan belia ditolak mentah-mentah atas alasan kononnya tiada pengalaman.

Ada juga yang bertanyakan sesuatu tetapi tidak mendapat jawapan sepatutnya, maka mereka pilih untuk merujuk kepada media sosial dan rakan sebaya yang semestinya cetek pengetahuan. Natijahnya maklum balas yang dihadamkan adalah salah. Ini yang bahaya.

YADIM: Bagaimana dengan data dan kajian berkaitan emosi belia dan apakah faktor yang mempengaruhinya?
JUFITRI: Terdapat Indeks Belia Malaysia yang dibuat setiap tiga tahun. Dapatan terhadap skor kesihatan mental amat membimbangkan iaitu stres yang membawa kepada cubaan bunuh diri. Masalah kekosongan dalaman (spiritual) juga perlu dititikberatkan.

Stres ekonomi pasangan muda B40 juga membimbangkan. Antara masalah utama belia ialah tiada tabungan dan ia memberi impak teruk semasa menghadapi musibah, sekali gus menambahkan stres ekonomi.

YADIM: Ada tanggapan bahawa semua benda negatif disandarkan kepada belia.
ZUHAILI: Perlu diingatkan, belia adalah kumpulan yang sedang mencari jati diri, kenalilah masalah utama, jangan dengan mudah melabel tanpa mencari penyelesaian konstruktif.

Dapat disimpulkan ia berpunca daripada tiga perkara utama iaitu fizikal, mental dan spiritual. Kebanyakan belia yang sedang mencari identiti tiada keyakinan diri. Terlalu banyak didedahkan dengan kononnya kehebatan tamadun Barat tetapi pada masa sama tamadun Islam dipinggirkan.

Mereka lebih mengenali tokoh Barat tapi jika ditanya tentang Khalifah Umar Abd Aziz, ramai tidak kenal. Rujukan utama mereka adalah Internet, ini yang malangnya kerana teknologi pada asalnya dicipta oleh manusia tapi kini teknologi itu seperti ‘menguruskan’ manusia.

Apabila belia banyak bertanya, ‘orang tua’ kena jawab dengan penjelasan yang sewajarnya. Ini kerana bila tak dapat jawapan, mereka akan mentafsir sendiri dan jawapannya itu yang membimbangkan.

YADIM: Sesiapa sahaja yang berjaya termasuk belia pasti ada hubung kait dengan peluang, tidak terkecuali saudara Jufitri, pasti ada langkah pertama, boleh kongsikan?
JUFITRI: Masing-masing ada turning point. Ia tidak datang bergolek, kita kena explore macam saya sebelum ini banyak hadir majlis-majlis ilmu, seminar, hasil pembacaan, timba ilmu dan pengalaman daripada mereka yang lebih arif. Kena ada mentor, iaitu boleh dikatakan sebagai jalan pintas untuk berjaya.

YADIM: Zuhaili macam mana, boleh kongsi?
ZUHAILI: Prosesnya hampir sama, cuma zamannya sahaja berbeza. Ia ada kaedah khusus, antaranya jangan tersilap pilih mentor. Jangan hanya mengikut secara membuta-tuli tanpa penilaian terbaik hingga hilang pertimbangan.

Kena peka kepada konsep khalifah iaitu kita semua adalah pemimpin kepada diri sendiri bukan hanya terhad kepada mereka yang hendak menjadi pemimpin sahaja. Jadikan Rasulullah SAW sebagai mentor utama dalam diri, banyak yang kita kaji dan kupas akhlak Baginda selepas kenabian tetapi jarang mendalami fasa sebelum itu, iaitu bagaimana akhlak Baginda sebagai seorang belia yang cemerlang.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *