KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan Isr@el memintas Global Sumud Flotilla (GSF) yang dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Perdana Menteri berkata, kapal-kapal tersebut membawa orang awam yang tidak bersenjata serta bekalan kemanusiaan penting untuk Gaza, namun mereka berdepan dengan intimidasi dan paksaan.
“Dengan menghalang misi kemanusiaan, Israel menunjukkan sikap angkuh dan tidak menghormati bukan sahaja hak rakyat Palestin, malah nurani kemanusiaan sejagat.
“Flotilla ini melambangkan solidariti, belas kasih dan harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terperangkap di bawah sekatan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Perdana Menteri berkata, Malaysia akan menggunakan segala saluran sah dan berperlembagaan yang ada bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya dalam hal yang membabitkan rakyat Malaysia.
“Keselamatan dan maruah rakyat kita adalah keutamaan, dan ia tidak akan dibiarkan tergadai tanpa tindakan,”.
“Selagi rakyat Palestin dinafikan hak asasi dan cita-cita mereka, Malaysia akan terus berdiri teguh bersama mereka,”.
“Kita tidak akan berundur dalam menuntut pengakhiran kepada ketidakadilan serta perampasan yang telah membelenggu Palestin sejak sekian lama,” katanya.
Setakat ini lapan rakyat Malaysia termasuk Zizi Kirana yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dilaporkan ditahan secara tidak sah tentera Israel selepas kapal yang mereka naiki dan dipintas di perairan antarabangsa, awal pagi tadi.
Perkembangan itu dikongsikan menerusi akaun media sosial rasmi Sumud Nusantara Official sebentar tadi yang memaklumkan beberapa kapal termasuk Huga yang dinaiki Zizi dinaiki dan dipintas tentera Israel.
Dalam perkongsian itu Sumud Nusantara Official turut memuat naik rakaman video Zizi yang dibuat sebelum pelayaran sebagai persediaan sekiranya ditahan pihak berkuasa Israel. – Berita Harian



KOMEN