KUALA TERENGGANU 5 Feb. – Seorang Pegawai Perhubungan Polis akan dilantik di setiap masjid yang dikenal pasti sering menjadi sasaran pencuri di sekitar daerah ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, pegawai dilantik berfungsi sebagai individu yang akan menjadi pengantara diantara pihak masjid dan polis.
“Kita akan meletakkan seorang pegawai perhubungan polis di setiap masjid yang memiliki banyak rekod jenayah terutama kecurian tabung masjid.
“Usaha ini adalah bertujuan mengurangkan dan seterusnya membanteras jenayah di tempat ibadah yang dilihat agak membimbangkan sejak kebelakangan ini,” katanya.
Suffian berkata, pegawai polis dilantik bertanggungjawab dari segi menyampaikan maklumat kesedaran termasuk melakukan kempen dan ceramah pendedahan berkaitan jenayah ditempat ibadah.
“Sasaran kempen dan ceramah kesedaran ini adalah bertumpukan kepada barisan jawatankuasa masjid selain jemaah masjid.
“Mereka akan diingatkan akan tanggungjawab masing-masing dalam usaha menangani jenayah selain diingatkan agar ada rasa tanggungjawab menjaga harta benda milik sendiri terutama kepada jemaah masjid.
“Ini disebabkan hasil siasatan sebelum ini berkaitan jenayah kecurian di masjid berpunca daripada kecuaian mangsa sendiri yang leka kerana menganggap masjid adalah tempat yang selamat,” katanya.
Kata Suffian lagi, selain itu, bagi masjid yang dikenalpasti agak ‘panas’ kerana kecurian tabung masjid, pihaknya mengambil inisiatif membuat satu ‘perangkap’.
“Tujuan ‘perangkap’ dibuat adalah memudahkan untuk mengecam dan seterusnya menangkap pencuri yang sering menyasarkan tabung di masjid berkenaan,” katanya.
Dalam masa sama, Suffian berkata, usaha ini adalah turut berfokuskan kepada tempat ibadah lain termasuk kuil dan sebagainya. – SINAR HARIAN
KOMEN