Home » Naratif Al-Ghazali » Politik Malaysia  menurut Imam al-Ghazali

Politik Malaysia  menurut Imam al-Ghazali

Oleh: Dr Alies Anor Abdul

BERBINCANG mengenai al-Ghazali, perhatian seseorang pasti akan tertumpu kepada dunia tasawuf, etika sosial dan psikologi pendidikan sebagai acuan utamanya. Akan tetapi jarang berlaku perbincangan mengenai al-Ghazali dilihat dalam perspektif pemikiran politiknya yang sesungguhnya mempunyai pemikiran yang sentiasa relevan dengan situasi dalam negara  terutama berkenaan dengan politik moral yang telah menjadi legasi al-Ghazali dalam khazanah intelektual Islam.

Perkara itulah yang melatari saya untuk mengkaji pemikiran politik al-Ghazali yang lebih mendalam. Saya berminat mengkaji pemikiran al-Ghazali berbanding dengan pemikiran politik lain seperti al-Mawardi atau al-Farabi yang pada segi tertentu cenderung bersifat ad hoc dan spesifik dengan keadaan dan tempat tertentu yang menjadikannya kurang relevan dengan perkembangan kontemporari.

Salah satu aspek penting dalam pemikiran al-Ghazali yang masih relevan di mana sahaja dan dalam keadaan apapun ialah tuntutan politik etis atau politik moral sebagai asas penting yang mesti dipegang oleh para politisi atau pembuat keputusan dasar kerajaan.

Selain dikenali di dunia Islam sebagai ‘peletak dasar’ (founding fathers) dunia tasawwuf yang lurus dan bersih, yang tidak tercampur dengan anasir khurafat dan bai’ah yang keterlaluan, al-Ghazali turut dikenali dalam khazanah intelektual Islam sebagai penggagas politik moral dalam praktik politik dan kenegaraan.

Gesaan mengamalkan politik moral ini terutama melalui peranan al-Ghazali menasihati Sultan menerusi karyanya al Tibr al-Masbuk fii Nashihat al-Muluk yang kemudian menjadi buku rujukan penting dalam memberi pandangan dan masukan kepada pihak penguasa dalam sesebuah negara.

Seruan al-Ghazali untuk mengamalkan politik moral amat munasabah terutama jika dikaitkan dengan situasi politik di tanah air dewasa ini yang dikatakan mengalami defisit moral dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat dan negara.

Hal ini misalnya dapat dilihat dan dirasakan secara kasat mata dengan tercetusnya rentetan kes rasuah, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, tidak telus, mengutamakan kroni dalam tender dan sebagainya yang ke belakangan ini semakin marak berlaku di negara ini.

Dalam pandangannya, al-Ghazali menyatakan bahawa krisis politik yang berlaku di kalangan pemerintah yang berkuasa berpunca daripada terhakisnya nilai-nilai moral yang sepatutnya menjadi raison de ‘etre pemegang kekuasaan di dalam sesebuah negara.

Bagi membaiki sistem politik dan perilaku penguasa yang mengalami defisit moral menurut al-Ghazali, tidak ada cara lain selain melakukan reformasi moral secara menyeluruh kerana itu merupakan tuntutan syariat.

Dalam hal ini, al-Ghazali mencadangkan kaum cendekiawan dan ulama yang memainkan peranan sebagai penyampai nasihat atau sebagai pihak yang berani menegur kepada penguasa. Peranan intelektual dan ulama menurut al Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin ialah ”Seorang ulama ialah orang yang menguasai aturan-aturan politik Islam dan mengetahui cara sebagai penghubung di antara penguasa jika berselisih dengan hukum yang tidak benar. Maka seorang ulama hendaknya menjadi guru dan membimbing penguasa”.

Al-Ghazali turut menekankan peranan ulama sebagai agen perubahan dalam sesebuah negara, dan ulama berperanan memberikan nasihat yang betul kepada pihak berkuasa. Dalam situasi ini, Malaysia menginstitusikan kedudukan ulama manakala setiap keputusan yang dibuat oleh ulama secara musyawarah dijadikan sebagai panduan, iaitu melalui Majlis Fatwa Kebangsaan.

Pada asasnya, apa yang berlaku di Malaysia hari ini bukan lah isu baru. Hakikatnya, isu ini sudah pun wujud pada zaman al-Ghazali yang menyaksikan berlakunya ‘kegaduhan politik’ mahupun penyelewengan akidah oleh serangan pemikiran kelompok Syiah Batiniyah pada era pemerintahan Saljuk.

Hari ini, Malaysia menghadapi situasi yang hampir sama di mana pelbagai aliran pemikiran menyeleweng mencuba untuk menghuru-hara keharmonian manhaj Ahlu Sunnah wal Jamaah yang diiktiraf sebagai mazhab rasmi negara.

Jika pada era al-Ghazali, serangan akidah dilakukan oleh satu pihak iaitu Syiah Batiniyah, situasi yang dihadapi Malaysia hari ini lebih rencam dengan kemunculan pelbagai aliran seperti Syiah, Wahabi dan Salafi Jihadi (neo-khawarij).

Belum lagi cubaan menyelewengkan akidah umat Islam yang datang daripada faktor luaran seperti fahaman liberalisme, sekularisme dan pluralisme yang mengancam dan menggugat fahaman Ahlu Sunnah wal Jamaah yang telah menjadi manhaj yang menekankan kepada keharmonian, kebijaksanaan dakwah dan ketulenan ajaran Islam yang sebenar.

Bentuk politik moral yang digagas al Ghazali ialah kekuatan dan kekuasaan yang dimiliki hendaklah digunakan untuk melakukan kebajikan kepada rakyat dan bukannya mengheret rakyat dalam kancah sengketa ataupun huru-hara. Dalam usaha menguruskan negara,  al-Ghazali menjelaskan falsafah politik hendaklah berteraskan kepada membentuk perpaduan dan memacu kemajuan bagi membolehkan rakyat hidup selesa dan tenteram.

Oleh sebab itu, al-Ghazali menolak menggunakan cara-cara keganasan dan yang bersifat revolusi bagi memperbetulkan penyelewengan yang dilakukan oleh penguasa. Apatah lagi dengan cara mengheret rakyat awam untuk menggugat pemerintah hanya demi nafsu politik pihak-pihak tertentu yang telah menyerah dan berputus asa dengan mekanisme demokrasi mahupun ketentuan suratan takdir.

Al-Ghazali termasuk seorang pemikir Islam yang menekankan aspek keharmonian dan kestabilan situasi negara sebagai asas utamanya. Sekiranya penguasa melakukan penyelewengan, al-Ghazali mengesyorkan menegur dengan tiga cara iaitu, melakukan kritik, menulis surat dan yang terakhir menjauhkan diri atau memutus hubungan dengan penguasa, Dalam konteks hari ini, memutus hubungan boleh diterjemahkan dalam bentuk tidak mengundi lagi parti berkuasa dalam pilihan raya akan datang.

Berkonsepkan kepada itulah al-Ghazali mendefinisikan politik atau siasah ialah menambahbaikkan urusan manusia dengan memacu jalan yang lurus bagi meneruskan kehidupan selaras dengan prinsip menegakkan kebenaran dan menghapuskan kemungkaran. Dengan menggunakan rangka falsafah politik itu, sekurang-kurangnya dapatlah kita menilai apakah realiti politik yang berlaku di Malaysia setelah beberapa kaedah yang dilaksanakan oleh parti politik semakin menipis dengan peraturan adab dan nilai-nilai moral.

Sudah sewajarnya, pemimpin kerajaan di Malaysia siapapun dan daripada parti manapun untuk secara sungguh-sungguh menerapkan pemikiran yang telah digariskan oleh al-Ghazali dalam mengurus negara. Hal ini kerana hakikatnya politik moral melangkaui politik kepartian dan ideologi politik tertentu yang terkadang hanya milik kelompok tertentu.

Di satu pihak, politik moral merupakan anti-tesis kepada kecenderungan amalan politik Machivellian yang sekarang ini begitu berleluasa dalam kancah politik negara dewasa ini. Di pihak lain, politik moral merupakan landasan kepada terbentuknya sistem pemerintahan yang telus (good governance), bertanggungjawab, mementingkan rakyat awam dan sekaligus sebagai asas untuk menolak wang politik, rasuah, penyelewengan kuasa dan tindakan negatif yang lain.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *