Home » Langit Terbuka » PPSM lapor polis tohmahan jahat youtuber kepada hakim syarie

PPSM lapor polis tohmahan jahat youtuber kepada hakim syarie

KUALA LUMPUR: Tohmahan satu saluran YouTube menerusi video bertajuk ‘Peguam, Hakim Syariah Ride Motor Tukar-Tukar Isteri’ disifatkan oleh Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) sebagai menghina dan mengaibkan institusi perundangan dan kehakiman syariah Malaysia.

Tegas Presiden PPSM Abu Suffian Abu Yaziz, perkara itu tidak berasas sama sekali apatah lagi tidak disokong oleh sebarang bukti kukuh mengikut saluran undang-undang di negara ini.

“PPSM telah menerima satu rakaman klip video berdurasi 10 minit 23 saat berhubung perkara itu. Saluran YouTube terbabit mengulas perkongsian yang dibuat oleh seorang lelaki dalam program di satu lagi saluran YouTube berlainan.

“Perkongsian lelaki terbabit mendakwa terdapat salah laku tidak bermoral membabitkan peguam dan hakim syariah dalam aktiviti bertukar-tukar pasangan setelah melakukan aktiviti motor berkumpulan.

“PPSM menzahirkan kekesalan atas pernyataan yang ditimbulkan dalam klip video terbabit. Tohmahan jahat ini telah menimbulkan ketidaktenteraman awam, menggugat keharmonian serta bertujuan menghakis keyakinan masyarakat awam kepada institusi kehakiman dan perundangan syariah Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dakwaan jahat itu juga kata PPSM memberi naratif yang tidak baik kepada masyarakat sivil selain fitnah ke atas pegawai syariah termasuklah hakim syarie dan peguam syarie.

Oleh itu PPSM hari ini telah membuat laporan polis berkaitan tohmahan dalam klip video berkenaan serta menyeru agar pihak berluasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas dan segera ke atas pemilik akaun YouTube dan YouTuber berkaitan berdasarkan Kanun Keseksaan, Akta Hasutan atau mana-mana peruntukan undang-undang berkaitan.

Abu Suffian berkata PPSM bertekad untuk terus memelihara nama baik dan integriti institusi perundangan dan kehakiman syariah daripada sebarang anasir jahat yang berniat mencemarkan imej dan identiti pegawai syariah termasuklah hakim syarie di negara ini. – AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *