Home » Langit Terbuka » Sultan Selangor tegur kelompok tertentu guna kata-kata kesat, biadap

Sultan Selangor tegur kelompok tertentu guna kata-kata kesat, biadap

SULTAN Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Watikah Pelantikan Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah. FOTO Bernama

Klang: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur tindakan segelintir pihak dan individu tertentu yang menggunakan kata-kata kesat dan biadap termasuk pemimpin politik.

“Beta ingin menyentuh mengenai insiden membabitkan penggunaan kata-kata kesat dan biadap yang dilemparkan oleh segolongan kelompok masyarakat, ahli politik, tidak ketinggalan segelintir pemimpin-pemimpin parti politik ketika berkempen dengan mengheret institusi Raja ke dalam ceramah mereka.

“Keadaan yang berlaku ini menggambarkan terhakisnya rasa hormat segelintir ahli dan pemimpin politik terhadap Institusi Raja dan kesultanan Melayu yang menjadi payung kepada umat Islam, orang Melayu dan lain-lain bangsa.

“Sikap biadap mereka ini melangkaui batas-batas dan nilai keperibadian orang Islam dan Melayu yang sering dipelihara.

“Ingatlah jangan kerana kita menyangka bahawa kita cukup popular di kalangan rakyat sehingga bertindak memperlekehkan sesiapa yang tidak sehaluan dengan fahaman politik masing-masing, malah sanggup pula hadir ke negeri Selangor dengan melemparkan cacian melampaui batas.

“Ke mana hilangnya budi bahasa? Ini bukan budaya kita khususnya orang Melayu untuk menghina sesiapa pun khususnya di khalayak ramai. Peliharalah adab dan susila kita apatah lagi apabila kita bertandang ke negeri atau rumah orang,” titah baginda.

Baginda bertitah selepas menyempurnakan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan & Ikrar Aku Janji serta Pengurusan Surat Cara Pelantikan Exco Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Baginda juga menyeru kepada semua pihak agar menghentikan budaya caci-mencaci yang boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat, dan sebaliknya menumpukan perhatian ke arah memajukan kehidupan rakyat dan memakmurkan negara.

“Beta juga mengambil kesempatan di sini untuk menyeru kepada semua orang Melayu Islam di Selangor ini agar sentiasa mengelakkan perbalahan dan persengketaan sesama sendiri yang boleh membawa kepada perpecahan masyarakat melayu Islam dan membawa imej yang buruk kepada kesucian agama Islam.

“Beta perhatikan, politik sudah banyak memecah-belahkan perpaduan kita sesama umat Islam dengan amalan fahaman politik sempit.

“Cukuplah apa yang telah berlaku. Kita perlu maju ke hadapan dan membawa perubahan kepada cara kita berpolitik dan berfikir,” titah baginda.

Titah baginda, pilihan raya sudah selesai dan mengajak semua pihak bersama-sama mengeratkan semula hubungan tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik.

“Kita perlu kembali bersatu padu membangunkan semula negara dan negeri Selangor khususnya.

“Hormatilah antara satu sama lain dengan tidak membesarkan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti sesuatu agama, kaum, bangsa atau keturunan yang boleh menggugat keharmonian.

“Gunakanlah platform media sosial dan semua aplikasi teknologi moden yang ada sekarang ini untuk perkara-perkara positif yang boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat dan bukannya untuk menyebarkan fitnah dan kebencian yang boleh menyebabkan perpecahan masyarakat,” titahnya.

Baginda mengakhiri titahnya dengan mendoakn agar seluruh rakyat dijauhi sebarang musibah dan rakyatnya yang berbilang kaum dapat hidup dalam harmoni dan aman damai.

“Adalah menjadi harapan Beta agar negeri Selangor yang dikasihi ini akan terus maju dan kerajaannya konsisten di dalam menangani masalah rakyat dan melaksanakan segala aspirasi rakyat,” katanya. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *