Home » Langit Terbuka » PPZ-MAIWP sasar RM852 juta kutipan zakat

PPZ-MAIWP sasar RM852 juta kutipan zakat

IDRIS Ahmad menerima replika cek zakat perniagaan daripada Abdul Hakim Amir Osman (kiri) pada Majlis Zakat Korporat 2022 di Putrajaya- Foto UTUSAN

PUTRAJAYA – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan kutipan kira-kira RM852 juta zakat keseluruhan untuk tahun ini daripada kira-kira 410,000 pembayar zakat.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, angka sasaran itu merupakan peningkatan sehingga sembilan peratus berdasarkan kesedaran pembayar zakat untuk menunaikan tanggungjawab tersebut.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya akan menilai keadaan ekonomi negara bagi tiga bulan pertama tahun ini sebelum membawa perkara tersebut kepada lembaga pengarah untuk penetapan sasaran baharu.

“Bagi zakat perniagaan pula, kita menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM132 juta daripada kira-kira 6,000 pembayar zakat. Untuk tahun lalu, PPZ-MAIWP telah mengutip zakat perniagaan sebanyak RM123,087,685.60 daripada 5,326 pembayar.

“Jumlah tersebut meningkat 16 peratus berbanding seramai 4,583 pembayar zakat pada tahun 2020,” katanya kepada pemberita pada Majlis Zakat Korporat 2022 di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad menyaksikan penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM7,929,492.12 daripada 19 syarikat korporat kepada PPZ-MAIWP.

Dalam pada itu, Abdul Hakim berkata, meskipun tahun 2021 adalah tahun penuh cabaran, masih ramai yang prihatin membela nasib asnaf yang semakin ramai di Wilayah Persekutuan dengan menunaikan zakat.

“Walaupun berdepan situasi sukar pada tahun lalu, masih banyak syarikat korporat tampil menunaikan kewajipan berzakat. Zakat perniagaan yang ditunaikan hari ini pastinya memberi seribu senyuman kepada lebih 216,525 asnaf di Wilayah Persekutuan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *