Home » Langit Terbuka » Pramugari muslim digantung kerja, enggan hidang arak

Pramugari muslim digantung kerja, enggan hidang arak

MONTGOMERY, Selasa – Seorang pramugari muslim digantung kerja oleh syarikat penerbangan ExpressJet selepas beliau enggan menghidangkan arak kepada penumpang kerana menganggap perkara itu bertentangan dengan ajaran agamanya.

Charee Stanley, telah memfailkan bantahan terhadap syarikat penerbangan berkenaan kepada Suruhanjaya Peluang Sama Rata Pekerjaan minggu lepas.

Menurut peguamnya, Stanley mahu melakukan kerja beliau tanpa menghidangkan arak seperti mana yang telah beliau lakukan sebelum jawatannya digantung.

“Tiada siapa yang boleh membuat pilihan sama ada untuk memilih kerjaya atau agama. Majikan perlu menyediakan persekitaran yang selamat, di mana pekerja dapat mengamalkan agama mereka dengan bebas,” kata Lena Masri, seorang peguam di Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR).

Stanley, 40, mula berkerja di ExpressJet sejak tiga tahun lalu dan beliau memeluk Islam pada tahun lepas, ketika itu beliau belajar bahawa meminum atau menghidangkan arak adalah dilarang dalam Islam.

Menurutnya, selama ini beliau bertugas dengan kakitangan penerbangan itu tanpa sebarang masalah.

“Kami tahu aturan tersebut berlangsung dengan baik tanpa sebarang insiden dan ia tidak memberi sebarang masalah ke atas syarikat penerbangan,” kata Masri.

Bagaimanapun, seorang rakan sekerja telah memfailkan aduan pada 2 Ogos, dengan mendakwa Stanley tidak memenuhi tugasnya serta memiliki ‘sebuah buku asing’ dan memakai tudung kepala, yang disifatkan oleh Masri sebagai ‘Islamofobia’.

Pada 25 Ogos, syarikat penerbangan itu telah memberikan cuti kepada beliau selama 12 bulan dan menamatkan kerjayanya selepas itu.

“Saya tidak fikir, saya perlu memilih agama atau kehidupan saya kerana kedua-dua itu penting,” kata Stanley kepada pemberita.

Sementara itu, Jarek Beem, jurucakap ExpressJet, enggan mengulas berkenaan dengan isu Stanley.

“Kami menghormati pekerja-pekerja kami. Kami memberikan layanan sama rata terhadap semua pekerja. Bagaimanapun, kami tidak akan mengulas mengenai peribadi pekerja kami (Charee),” katanya. – Agensi

Sumber daripada www.ismaweb.com

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *