Home » Citra Yadim » Program Ramadan YADIM Sarawak

Program Ramadan YADIM Sarawak

KUCHING 8 Jun – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sarawak telah mengatur pelbagai program sepanjang Ramadan ini dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk golongan saudara kita, kata Pengurus Eksekutif Zon Sarawak, Awang Dulhadi Awang Mat.

Beliau berkata pada 6 Jun telah diadakan program berbuka puasa dan agih bubur lambuk di Surau Darul Amanah, Kampung Penan Muslim, Batu 12, Bintulu.

Katanya, program berkenaan dianjurkan secara bersama oleh YADIM dan Jabatan Agama Islam (JAIS) Bintulu serta kerjasama Urusetia Saudara Kita (USK), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Hidayah Centre Foundation dan melibatkan seramai 50 orang yang menjayakan program ini.

“Antara aktiviti program ini ialah berbuka puasa bersama saudara baru, solat Maghrib dan Isyak berjemaah, penyampaian sumbangan daripada USK dan MACMA kepada saudara baru, solat sunat tarawih berjemaah dan penyampaian bubur lambuk daripada YADIM kepada saudara baru,’’ katanya.

Beliau berkata, pada hari yang sama turut diadakan adalah program Imarah Ramadan Kampung Sungai Kut Muara,  Mukah  dan turut hadir adalah wakil daripada Pejabat Agama Islam Bahagian Mukah .

Serentak pada hari itu, katanya, turut diadakan adalah Program Imarah Ramadan bersama saudara kita di Skim B, Sarikei, yang dianjurkan bersama YADIM Zon Sarawak dengan kerjasama badan bukan kerajan (NGO) Harakah Islamiah (Hikmah).

Turut hadir ialah Yang Dipertua HIKMAH, Tan Sri Abdul Aziz Hussin yang turut merasmikan program berkenaan dan menyampaikan sumbangan kepada saudara kita.

“Manakala pada 7 Jun telah diadakan Program Imarah Ramadan bersama saudara kita di Merindun, Lubok Antu Sri Aman Sarawak yang dianjurkan bersama oleh YADIM Zon Sarawak dan Hikmah Ranting, Lubok Antu,’’ katanya.

Pada hari yang sama, katanya,  program agihan sumbangan Ramadan juga diadakan di Marudi, Miri dengan  dikendalikan oleh Sukarelawan Al Falah YADIM, Miri dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Sarawak Bahagian Miri dan USK Marudi.

Menurutnya, agihan yang disalurkan kepada golongan fakir miskin dan saudara kita yang memerlukan di Miri itu berupa barang-barang sumbangan  hasil inisiatif SAF Miri dan sumbangan daripada orang ramai.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *