Home » Citra Yadim » Program SAF bersama Orang Asli Tasik Banding

Program SAF bersama Orang Asli Tasik Banding

YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA melalui pasukan Sukarelawan Al-Falah (SAF) telah mengadakan program Dakwah dan Khidmat Bakti Masyarakat Orang Asli pada 22 September 2016 lalu bertempat di Kampung Orang Asli Aman Damai, Tasik Banding, Belum, Perak.
Pengurus Eksekutif Bahagian Bina Ummah YADIM, Mohd Khairrul Fuad Bin Samsudin berkata, program berkenaan adalah anjuran bersama YADIM Zon Utara, dan Persatuan Minda Muda Bestari, Kuala Lumpur serta turut mendapat kerjasama yang sangat baik daripada pihak Mubaligh di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Perak.
“Program ini telah mendapat sambutan yang baik dengan Persatuan Minda Muda Bestari sahaja menghantar 30 ahlinya menyertai program ini,’’ katanya.
Beliau berkata, program berkenaan telah menghimpunkan seramai 18 keluarga masyarakat Orang Asli termasuk dua keluarga Muslim dengan mengadakan pelbagai aktiviti termasuk sukaneka, pertandingan mewarna dan penyampaian sumbangan.
Menurutnya, di kampung berkenaan terdapat seramai lapan orang beragama Islam dari dua buah keluarga.
“Selain itu, sumbangan berupa barangan keperluan asas dan alat tulis turut disampaikan kepada semua keluarga di sana tanpa mengira Muslim atau tidak,’’ katanya.
Jelasnya, menjelang waktu Zohor, solat Fardhu Jumaat turut diadakan bersama keluarga Muslim Orang Asli serta para peserta dan khutbah Jumaat telah disampaikan oleh Eksekutif Kanan Sukarelawan Al- Falah YADIM, Abdul Qaiyum Aris.
Katanya, program berkenaan telah memberi pengalaman baru kepada kebanyakan para peserta terutama dalam mendekati komuniti Orang Asli yang tinggal terpencil di pedalaman dengan hanya dihubungi melalui bot yang mengambil masa 40 minuit untuk sampai melalui jeti awam Banding.
“Seusai program dakwah, ahli-ahli SAF terus memasuki perkampungan di bawah Rancangan Penempatan Semula Air Banun dan Kampung Orang Asli Sungai Raba bagi menziarahi mubaligh dan penduduk di sana,’’ katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, program berjaya telah berjaya mencapai objektif iaitu bagi membina jaringan bersama Tok Batin serta pimpinan setempat, penduduk, dan masyarakat Orang Asli di kawasan terbabit.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *