Home » Wacana » Taati ibu bapa

Taati ibu bapa

Oleh HASHIM AHMAD
Perhubungan ayah-anak atau ibu-anak yang begitu liberal pada masa kini telah mengakibatkan banyak hukum Islam dinodai. Sering kedengaran anak-anak yang memaki hamun dan memarahi ibu bapa mereka dengan kata-kata kesat apabila sesuatu kehendak mereka tidak dipenuhi.
Tragedi melarikan diri dari rumah setelah berlaku sedikit krisis mulut atau kerana merasa tidak sesuai tinggal dengan ibu bapa yang dianggap kolot juga merupakan satu perkara yang lumrah yang selalu kita jumpa di dada-dada akhbar. Perbuatan demikian adalah bertentangan dan sangat dikutuk oleh agama Islam.
Ayat-ayat dari al-Quran dan al-Hadis menunjukkan betapa tingginya kedudukan seorang ibu di sisi Islam. Salah satu daripada hadis tersebut bermaksud: “Syurga terletak di bawah telapak kaki ibu.”(HR Ahmad). Hadis ini menjelaskan betapa besarnya balasan yang akan diterima oleh seseorang anak yang berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.
Hadis ini juga menunjukkan bahawa agama Islam meletakkan ibu ditaraf yang tinggi dalam hubungan kekeluargaan. Satu lagi hadis yang menunjukkan keluhuran kedudukan ibu bapa di sisi Tuhan adalah, “Barang siapa yang berbuat baik (taat) kepada dua ibu bapanya kerana Allah, maka akan dibuka untuknya dua pintu syurga.” (HR Ibnu Abbas)
Maksud taat kepada kedua ibu bapa kerana Allah ialah melakukan pekerjaan yang disukai oleh mereka berdua dan pekerjaan yang dilakukan itu janganlah bertentangan dengan suruhan Allah SWT.
Hakikatnya, melakukan pekerjaan yang disukai oleh kedua ibu bapa memang menjadi tanggungjawab yang besar bagi seseorang anak. Memandangkan betapa besarnya jasa ibu dan ayah yang memang tidak ternilai itu.
Cuba renungkan, pada masa anak masih dalam kandungannya, ibu telah menempuh pelbagai penderitaan dan kesusahan. Apabila anak dilahirkan, ibu dan ayah terpaksa berjaga siang dan malam untuk mengawasi dan membendungi kesihatan anaknya. Seorang ibu rela tidak tidur demi untuk menjaga anaknya dari digigit nyamuk dan sanggup perutnya berkeroncong selagi perut anaknya yang masih kecil itu belum berisi.
Begitulah besarnya pengorbanan yang sanggup dilakukan oleh seorang ibu dan bapa terhadap anaknya. Dari itu tidak hairanlah mengapa Islam menitik beratkan soal berbuat baik dan taat setia kepada kedua ibu bapa.
Walau bagaimanapun, Allah SWT tidak menegah si anak melanggar atau membantah perintah yang dikeluarkan oleh ibu atau ayahnya andainya suruhan itu bertentangan dengan perintah Tuhan. Islam menegah seseorang anak daripada mengikut perintah ayah atau ibunya supaya melakukan perkara maksiat seperti merompak, mencuri, menyamun dan sebagainya. Nabi Ibrahim AS sendiri pernah membantah dan menentang ayahnya kerana ayahnya menyembah berhala. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak ada ketaatan kepada seorang pun dalam maksiat kepada Allah (kerana) taat itu adalah dalam urusan kebaikan.”(HR Bukhari, Muslim dan Nasa’i)
Kadang-kadang, terdapat si ibu berkata atau bertindak salah terhadap anak. Namun si anak tidak boleh mengherdik atau membentak ibunya. Ini berdasarkan firman-Nya dalam Surah Al-Isra’ ayat 23 yang bermaksud: “…dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
Dengan lain perkataan, kita diseru supaya bercakap dengan kedua ibu bapa dengan perkataan yang lemah lembut dan penuh sopan. Gunakanlah perkataan yang sedap didengar apabila bercakap dengan mereka.
Hadis di atas menyatakan bahawa adalah penting bagi seseorang anak menjaga hati kedua ibu bapanya daripada tersinggung. Elakkan diri dari menggunakan perkataan yang kesat dan kasar apabila bercakap dengan mereka kerana penggunaan perkataan yang seperti itu pasti akan menyakiti hati mereka. Apatah lagi kalau kedua mereka itu sudah tua dan sudah tidak bertenaga lagi.
Berterima kasih dan berilah layanan yang sempurna kepada mereka demi untuk membalas jasa dan pengorbanan mereka kepada kita sedari kecil hingga kita dewasa dan berjaya.
Mengapa pula tidak ada satu ayat al-Quran atau al-Hadis yang menyuruh ayah dan ibu taat kepada si anak? Mengapa si anak sahaja yang dikehendaki berbuat baik kepada ibu bapa mereka?
Jika diteliti dan direnung secara rasional, ini bukanlah satu perkara yang luar biasa. Berbuat baik dan mempunyai perasaan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anaknya sudah menjadi satu kewajipan yang telah ditetapkan Tuhan di setiap sanubari ibu bapa.
Ibu atau bapa memarahi anaknya bukanlah kerana benci tetapi sekadar hendak mengajarnya sahaja. Tidak mungkin manusia yang diberi kelebihan pada otaknya sanggup memarahi anaknya kerana benci.
Justeru, menyedari hakikat ini, maka berbuat baik dan taatilah kepada kedua ibu bapa. Kalau kita tinggal berjauhan dengan mereka, kunjungilah mereka sekerap mungkin agar perasaan mereka tidak terpisah jauh dengan kita. Insya-Allah.Hashim Ahmad ialah pesara guru di Yayasan Islam Kelantan
SUMBER: MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *