Home » Langit Terbuka » Proton Tidak Pernah Gagal – Tun Mahathir

Proton Tidak Pernah Gagal – Tun Mahathir

Perdana Menteri berkata, malah Proton pernah menguasai hampir 80 peratus pasaran kenderaan tempatan selain memiliki rizab sebanyak RM4 bilion dan kilang canggih yang dibina dengan peruntukan sendiri berujumlah RM1.8 bilion ketika itu

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan Proton yang dilancarkannya tiga dekad lalu bahawa projek kereta nasional itu tidak pernah gagal seperti yang didakwa pihak tertentu, sebaliknya ia pernah menguasai pasaran automotif satu ketika dahulu.

Perdana Menteri berkata, malah Proton pernah menguasai hampir 80 peratus pasaran kenderaan tempatan selain memiliki rizab sebanyak RM4 bilion dan kilang canggih yang dibina dengan peruntukan sendiri berujumlah RM1.8 bilion ketika itu.

“Proton tidak pernah gagal, apa yang telah menyebabkan ‘kegagalan’ itu adalah kerana kerajaan pemerintah tidak cekap dan fasih dengan industri automotif sehingga menyebabkan kemerosotan teruk.

“Dahulu, Proton berjaya tembus Malaysia dan luar negara malah dapat jual 25,000 unit di UK dan lain-lain tempat satu ketika dahulu.

“Sejak 10 tahun dahulu, kerajaan terdahulu telah benarkan segala jenis kereta dari luar tembus ke pasaran ini tetapi pada masa yang sama tidak membenarkan kita tembus ke pasaran mereka. Syarikat gergasi masuk dan tidak dapat ditandingi oleh Proton.

“Industri automotif hadapi masalah, ramai tidak dapat bersaing dengan bekalan luar negara. Bahkan syarikat Malaysia bekal barangan kepada Proton yang diimport dari negara lain. Ini bermakna kita tidak boleh keluarkan barangan kita dengan harga yang kompetetif. Projek Proton tidak pernah gagal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) tentang projek kereta nasional ketiga yang diumumkan oleh Tun Mahathir ketika melawat Jepun baru-baru ini.

Soal Ka Siong, apakah justifikasi selain adakah kerajaan baru (Pakatan Harapan) akan mengambil iktibar mengenai kegagalan Proton.

Jelas Mahathir, ketika ini pihaknya sedang dalam peringkat kajian dasar automatif nasional dalam usaha memastikan industri automotif tempatan kekal kompetetif.

“Dasar yang pernah diamalkan sebelum ini sebenarnya yang membawa kepada kemerosotan kepada pasaran tempatan, Proton dianggap gagal kerana itu. Ketika ini, kita sedang dalam peringkat kajian bagi mengubah dasar sebelum ini.

“Proton pernah minta bantuan kepada kerajaan terdahulu namun bantuan tidak diberi tetapi apabila ianya di jual kepada negara asing baru bantuan di beri itupun selepas ianya dikuasai oleh syarikat asing.

“Selagi ada dasar sebegitu, industri tempatan (tidak) capai kemajuan, dasar dulu utamakan import daripada pengeluaran tempatan, kerajaan kini ada dasar lain.

“Parti lawan, sila lihatlah apa yang kami akan buat selepas ini. Proton pernah berjaya ketika ‘zaman purba’ dulu’,” ujarnya.

Proton diasaskan oleh Mahathir pada 1983 dan syarikat itu memulakan pengeluaran pada 1985.

Selepas persaraannya, Mahathir dilantik sebagai Pengerusi Proton namun beliau meletak jawatan pada Mac 2016 setelah meninggalkan UMNO kerana tidak puas hati dengan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

DRB-Hicom menjual 49.9 peratus kepentingannya dalam Proton kepada syarikat China, Zhejiang Geely pada awal tahun lepas.

Jualan Proton ketika ini turun kepada 70,991 unit pada tahun lepas berbanding 72,291 unit pada 2016. – MALAYSIAGAZETTE

https://malaysiagazette.com/v2/blog/2018/07/30/proton-tidak-pernah-gagal-tun-mahathir/

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *