Home » Langit Terbuka » Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah bangkit semula

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah bangkit semula

Bangunan baru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat. FOTO : Berita Harian

KUALA LUMPUR 9 Jan – “Walaupun kami diibarat tersungkur menyembah bumi, kami yakin akan bangun kembali demi terus melahirkan generasi al-Quran dalam kalangan mereka yang kurang berkemampuan.”

Itu kata Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini, Mohd Zahid Mahmood, ketika ditanya mengenai masa depan madrasah itu yang ditimpa tragedi hitam lebih tiga bulan lalu.

Pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat itu menjadi perhatian negara apabila terbakar kira-kira jam 4.15 pagi pada 14 September lalu.

Permohonan meningkat

Tragedi berkenaan mengorbankan 21 pelajar, kebanyakan berusia bawah 15 tahun serta dua guru. Berikutan itu, pusat tahfiz terbabit menghentikan operasinya sementara waktu berlaku sehingga hari ini.

Mohd Zahid berkata, kejadian yang dianggap ujian daripada Allah itu, tidak sedikit pun menggoncang semangatnya serta guru dan baki 10 pelajar untuk terus menyambung pengajian mereka di situ.

Katanya, walaupun menerima pelbagai kecaman susulan tragedi itu, permintaan untuk belajar di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terus meningkat.

“Kami membuka permohonan kemasukan ke pusat tahfiz ini pada November lalu sehingga 15 Disember. Tanpa disangka, kami menerima 160 permohonan daripada ibu bapa, malah masih ada yang memohon kemasukan sehingga semalam.

“Bagaimanapun, kami hanya dapat ambil 55 pelajar, menjadikan jumlah pelajar di sini 65 orang yang dijangka memulakan pengajian pada Selasa atau Rabu depan,” katanya ketika ditemui di bangunan baharu Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini, semalam.

Katanya, mereka akan meminjam bangunan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Danau Lumayan, Bandar Sri Permaisuri, Cheras untuk sementara waktu dan sedang menunggu surat kebenaran masuk, sebelum boleh memulakan pengajian.

Tukar status bangunan

Beliau berkata, mereka tidak menggunakan bangunan baharu pusat tahfiz itu, yang terletak kira-kira 400 meter dari bangunan yang terbakar kerana perlu menukar statusnya daripada kediaman kepada institusi.

“Mengikut syarat ditetapkan kerajaan, hanya bangunan berstatus institusi boleh dijadikan tempat pengajian serta asrama penginapan pelajar. Beberapa perkara perlu ditambah baik untuk menjadi institusi.

“Antaranya menyediakan alat pengesan haba dan asap, selain perlu mengubah struktur bangunan yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan dengan kos sekitar RM600,000,” katanya.

Terdahulu, wartawan yang dibawa melawat melihat bangunan baharu lima tingkat pusat tahfiz itu yang berkeluasan 10,000 kaki persegi, kagum melihat kemudahan serba lengkap walaupun pelajarnya tidak dikenakan yuran.

Bangunan baharu dilengkapi ruang belajar, tempat tidur dengan 65 katil, pendingin hawa, ruang makan, surau dan gelanggang badminton, selain 18 kamera litar tertutup (CCTV), loceng keselamatan serta lebih 10 alat pemadam api.

Sementara itu, seorang pelajarnya yang terbabit dalam kejadian kebakaran, Indrakurniawan Mohd Amirul, 13, berkata dia tidak sabar untuk menyambung pengajian bersama rakan baharu.

Indrakurniawan yang koma hampir sebulan serta melecur hampir sebahagian badannya, berkata jeritan rakan serta bahang api pada malam kejadian, tidak lagi mengganggunya.

“Selepas sedar dari koma, saya hanya tahu ada rakan meninggal dunia melalui akhbar. Sekarang, saya sudah tidak lagi teringat-ingatkan kejadian itu,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Adib Baqir Muhd Khalid, 15, yang cedera di tangan, berkata beliau tetap bersemangat meneruskan pengajian walaupun tragedi itu berlaku selepas dua bulan memasuki pusat tahfiz berkenaan.

“Saya reda dengan kejadian itu. Saya masih ada teringat rakan dan kebakaran, namun tidak sekerap dulu,” katanya.- BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *