Pengarah JBPM negeri, Mohd. Fadzil Harun berkata, setakat ini, hanya enam daripada keseluruhan 15 pusat tahfiz di Perlis yang memenuhi kriteria keselamatan yang ditetapkan itu.

Katanya, sebahagian pusat tahfiz itu sudah mengikuti proses tersebut selepas pemeriksaan yang dijalankan oleh pihaknya sepanjang tahun lalu.

“Berbanding negeri lain, pusat tahfiz di negeri ini berada dalam keadaan baik yang mana kesemuanya adalah bangunan kon­krit dan bukannya kayu. Jadi risiko untuk berlaku kebakaran itu adalah sedikit.

“Berdasarkan pemantauan sebelum ini, kebanyakan berada dalam keadaan memuaskan memandangkan mereka berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Ne­geri Perlis (JAIPs),” katanya selepas Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2018 JBPM Peringkat Ne­geri Perlis di Ibu pejabat Bomba dan Penyelamat negeri, di sini semalam.

Menurutnya, setakat ini, punca utama beberapa pusat tahfiz di negeri ini tidak lulus ujian aspek keselamatan adalah disebabkan ciri-ciri binaan bangunan yang tidak menepati piawaian.

“Ada pusat tahfiz menggunakan bangunan wakaf oleh masyarakat setempat sebagai pusat pengajian agama. Kita tidak nafikan pembinaan ini tidak mengikuti pelan aspek keselamatan bangunan yang ditetapkan,” katanya.

Mohd. Fadzil berkata, antara penambahbaikan yang dilakukan di pusat tahfiz terbabit adalah membekalkan pengesan haba dan asap, alat pemadan api serta mewujudkan laluan kecemasan. – UTUSAN ONLINE