Home » Ensiklopedia » Qasidah Burdah

Qasidah Burdah

“Wahai Tuhanku,

Selawat dan salam sudi Engkau limpahkan,

Kepada kekasih-Mu sentiasa selamanya,

Sebaik-baik makhluk yang Engkau ciptakan,

Muhammad itu adalah penghulu dari dua dunia dan dua kelompok (manusia dan jin),

Dan ikutan bagi orang Arab dan bukan Arab,

Dialah kekasih Allah diharapkan kesyafaatan,

Pada setiap hal dari hal kebaikan yang dilakukan,

Kemudian reda daripada Abu Bakar dan Umar juga Ali dan Uthman yang dimuliakan,

Wahai Tuhan!

Perkenankan hajat kami dengan berkat Nabi pilihan dan ampunilah dosa kami yang lalu,

Wahai Tuhan yang punya kemuliaan.”

Qasidah Burdah terdiri daripada 160 bait syair yang ditulis dengan uslub (gaya bahasa) yang puitis, menarik, lembut dan boleh dibaca dengan berbagai irama yang sangat indah dan merdu. Menurut riwayat, Qasidah Burdah mulai dikenal dan kemudian terus terkenal bermula ketika separuh badan pengarangnya diserang penyakit syalal (lumpuh). Dalam keadaan sakit itulah beliau mengarang qasidah yang memuji-muji Nabi Muhammad SAW.

Pada suatu malam, beliau bermimpi melantunkan qasidah-qasidah yang dikarangnya itu di hadapan Rasulullah SAW. Baginda Rasulullah dalam mimpi tersebut kelihatan begitu gembira dan menyukai qasidah tersebut. Dalam mimpinya itu, Rasulullah mengusap mukanya dan menyentuh bahagian badannya yang lumpuh sambil memakaikan burdah yang dipakai Baginda ke tubuh sang pengarang itu. Ketika terbangun dari tidurnya, penyakit lumpuhnya sembuh.

Qasidah Burdah dikarang oleh Imam al-Bushiri atau nama sebenarnya Syarafuddin Abu Abdillah Muhammad bin Zaid al-Bushiri. Beliau dilahirkan pada tahun 610 Hijrah (1213 Masihi) di Dallas atau Dalos, Maghribi dan dibesarkan di Busir. Di Kaherah, Imam al-Bushiri adalah seorang sasterawan dan penyair yang ulung. Kemahirannya di dalam bidang syair mengatasi para penyair lain dizamannya. Beliau juga terkenal dengan keindahan karya-karya kaligrafinya.

Imam al-Bushiri menerjemahkan kehidupan Nabi SAW ke dalam bentuk bait-bait puisi yang sangat indah. Menerusi qasidahnya, beliau berjaya menanamkan kecintaan umat Islam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW dengan lebih mendalam. Maka tidak hairanlah Qasidah Burdah ini tersebar ke seluruh penjuru bumi, dari Timur hingga Barat.

Selain Qasidah Burdah, qasidah lain yang terkenal oleh Imam al-Bushiri ialah Qasidah Mudariya, yang tujuannya adalah sama iaitu bagi memupuk kecintaan terhadap Rasulullah SAW. Imam al-Bushiri meninggal dunia pada tahun 695 Hijrah (1296 MasIhi) dan dimakamkan di Alexandria, Mesir. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *