Home » Citra Yadim » Raikan kepelbagaian

Raikan kepelbagaian

BANGI – Kepelbagaian kaum, budaya dan agama seharusnya diraikan semua kerana ia mempunyai nikmat besar yang dikurniakan kepada negara ini.

Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin berkata, kepelbagaian di negara ini pada masa yang sama perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh semua pihak.

“Bagi pendakwah, ianya adalah peluang untuk menambah pahala mereka di jalan itu, bagi para sarjana pula, ia adalah peluang dan mesti dimanfaatkan dengan ilmu.

“Bagi peniaga pula ia merupakan peluang untuk menambah dan membuka pasaran,”katanya semasa berucap pada perasmian Seminar Islam Rahmatan Lil Alamin dan Townhall Maqasid Syariah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam di sini hari ini (27 Ogos).

Hadir sama ialah Pengarah IPG Bangi, Yang Berusaha Dr Mohamad Hussin Mohamad Yusuf, Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Perkaderan YADIM, Kapten (B) Shamsuddin Moner, Pengarah Pusat Latihan Dakwah Negara, Ustaz Mohd Khairrul Fuad Samsuddin, kepimpinan IPG Bangi, pegawai pegawai  YADIM serta para pelajar pusat latihan berkenaan.

Seramai kira kira 300 peserta menghadiri majlis perasmian tersebut.

Sementara itu, menyentuh lanjut mengenai kepelbagaian Zolkharnain berkata, ia juga perlu dipertahankan dan dijaga daripada sebarang bentuk percubaan untuk mengganggu keharmoniannya.

“Mana mana pihak yang walau sedikit cuba meniupkan api perkauman, pasti akan ada yang cuba mengambil kesempatan memarakkannya,” kata beliau.

Justeru katanya, dengan mengambil sikap rahmah yang memberi keadilan dan kedamaian, semua pihak di negara ini akan dapat hidup dengan damai dan bertoleransi jika meraikan kepelbagaian.

Seminar hari ini bertujuan memberi kefahaman tentang nilai dan matlamat sejagat Maqasid Syariah, khususnya aspek pentadbiran kerajaan dan pendidikan, selain menyebar luas gagasan Rahmatan Lil Alamin serta merumuskan resolusi dalam bentuk tindakan yang bersesuaian dengan cabaran dan permasalahan yang ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf mengadakan sesi townhall pada sebelah petang bersama para hadirin, membicarakan tentang Rahmatan Lil Alamin dan konsep rahmah.

Terdahulu, selepas ucapan aluan dan perasmian, majlis diteruskan dengan pembentangan dua kertas kerja masing masing oleh Pegawai Tugas Tugas Khas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Yang Berusaha Ustaz Ali Muda dan Felo Penyelidik Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa, Dr Ahmad Badri Abdullah.

Ali membentangkan kertas kerjanya bertajuk ‘Islam Rahmatan Lil Alamin’ manakala Ahmad Badri dengan tajuk ‘Maqasid Syariah: Aplikasi dan Cabaran Dalam Pengurusan Pentadbiran’.

Program ini dianjurkan YADIM, Akademi Nunji, IPG Bangi dengan kerjasama Pejabat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama).

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *