Home » Langit Terbuka » ‘Raja Bomoh’ taubat nasuha

‘Raja Bomoh’ taubat nasuha

KUALA LUMPUR, 28 Rejab 1438H, Selasa – Ibrahim Mat Zain, 66, atau lebih dikenali sebagai ‘Raja Bomoh’ mengaku berbohong kepada masyarakat berhubung ritual yang dilakukan seama ini, selain menghina agama Islam.

Serentak itu, dia bertaubat nasuha atas segala perbuatannya, hari ini.

Pengakuan taubatnya disaksikan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Al Bakri; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi), Abdul Aziz Jusoh dan Ketua Pegawai Penguatkuasa Jawi, Wan Jaapar Wan Ahmad, pada sidang media di pejabat Jawi.

Dalam pengakuannya, dia memohon maaf kepada umat Islam dan bukan Islam di negara ini serta semua pihak di seluruh dunia berhubung tindakannya menggunakan teropong dalam beberapa kejadian dan isu yang berlaku di Malaysia, termasuk kehilangan MH370 dan ritual menghalang Malaysia daripada serangan nuklear Korea Utara.

Katanya, apa yang dilakukannya hanyalah sebagai simbolik dan drama, malah tidak ada apa-apa yang kelihatan ketika ‘meneropong’ atau menjadikan buah kelapa sebagai ‘bom’.

“Saya minta berbanyak maaf kepada masyarakat Islam khasnya, dan bukan Islam. Apa yang saya buat ini bukan kehendak saya, sebaliknya diarah orang tertentu untuk buat cerita ini. Sebagai drama untuk kepentingan mereka, tapi saya tak boleh cakap siapa.

“Mereka suruh saya buat lima drama iaitu di airport, jerebu, hujan, menghempuk buah tembikai dan jenazah di Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta di Bagan Lalang,” katanya.

Ibrahim berkata, dia tidak tahu ritual yang dilakukan itu menjadi kesalahan, malah tidak merujuk perbuatan itu kepada mana-mana pejabat agama atau mufti.

“Bila buat, inilah akibatnya. Saya tidur dalam lokap Dang Wangi dua hari, di Jinjang sehari.

“Jadi saya bertaubat nasuha tidak mahu buat lagi. Walau disuruh, saya tidak mahu buat. Bukan dapat bayaran. Saya ikhlas, saya sayang Malaysia, bangsa, Islam, sebab itu saya buat. Itu semua drama untuk seronokkan cerita. Tak perlu panggil saya Raja Bomoh lagi,” katanya.

Terdahulu, dia dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur dan mengaku salah terhadap semua fakta pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Ketua Hakim Syarie yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Datuk Mohamad Ibrahim mendapati Ibrahim bersalah atas semua pertuduhan itu dan menjatuhkan dua hukuman iaitu;

  1. Melihat kepada faktor umur dan keadaan kesihatan pesalah, maka diperintah berkelakuan baik selama tempoh enam bulan dengan bon jaminan oleh dua penjamin dan diletakkan di bawah pengawasan Pejabat Mufti Wilayah Persekeutuan, menurut Seksyen 129 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997; dan
  2. Pejabat Mufti diarah menyediakan modul pengajaran bagi membolehkan pesalah menjalani kelas akidah dan fardhu ain dengan bimbingan Pejabat Mufti. Pejabat Mufti juga diarah menyediakan laporan perkembangan pesalah kepada mahkamah sepanjang tempoh itu.

Ibrahim ditangkap oleh Bahagian Penguatkuasa Jawi pada jam 1.48 petang 22 April lalu di balai polis Dang Wangi mengikut Seksyen 7(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), bagi kesalahan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.

Dia ditahan untuk siasatan lanjutan maklumat orang awam mengenai ritual untuk menurunkan hujan bagi meredakan panas kesan El Nino di tapak bekas rumah pangsa Jalan Pekeliling Kuala Lumpur pada 21 Mac tahun lalu.- www.ismaweb.net

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *