Home » Langit Terbuka » Raja Salman mahu OIC distruktur semuka tangani cabaran umat Islam

Raja Salman mahu OIC distruktur semuka tangani cabaran umat Islam

Raja Salman berkata, isu Palestin adalah perkara asas dalam gerak kerja pertubuhan OIC. Foto AlBalad.com

MAKKAH – Raja Salman Abdulaziz al Saud mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) distruktur semula supaya mampu menangani cabaran serantau dan antarabangsa yang dihadapi umat Islam ketika ini.

“Melalui jawatan pengerusi OIC yang disandang kali ini, Arab Saudi akan berusaha untuk bekerjasama dengan negara anggota bagi mempercepatkan pelaksanaan tindakan bersama untuk mencapai hasrat umat Islam sejagat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Sidang Kemuncak OIC ke-14 di Istana Royal Sofa di sini, Sabtu pagi.

Raja Salman turut melahirkan rasa dukacita terhadap pelarian Islam di seluruh dunia yang mencatatkan bilangan peratusan tertinggi, yang berlaku akibat pergolakan dan peperangan, selain kehilangan nikmat keamanan di negara sendiri.

Baginda turut menegaskan negaranya sedang berusaha meraikan pelbagai pandangan daripada negara Islam untuk mengatasi pergolakan dan peperangan yang berlaku.

“Pada masa yang sama juga, Arab Saudi terus menghulurkan bantuan menerusi badan kemanusian demi kedaulatan, keamanan dan kestabilan seluruh negara Islam,” katanya.

Raja Arab Saudi itu berkata, isu Palestin adalah perkara asas dalam gerak kerja pertubuhan OIC.

“Ia (isu Palestin) menjadi tumpuan kami supaya rakyat Palestin mendapat semula segala hak mereka dan dijamin resolusi legitimasi antarabangsa dan Inisiatif Damai Arab 2002.

“Kami sekali lagi menyatakan pendirian menolak sebarang langkah yang akan menjejaskan status sejarah dan undang-undang negara Palestin,” katanya.

Persidangan bertemakan “Sidang Kemuncak Makkah: Bersama-sama menuju ke arah Masa Depan”, dihadiri para pemimpin dari 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bersatu menegakkan pendirian berhubung isu dan peristiwa yang sedang melanda Dunia Islam.

Sidang kemuncak itu juga mengeluarkan ‘Deklarasi Makkah’ dan pernyataan akhir untuk menangani pelbagai isu terkini di dunia Islam. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *