Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad berkata, sikap kesetiaan merupakan nilai yang baik dan boleh dijadikan ikatan bagi memupuk kecintaan rakyat kepada negara.

“Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Raja dan negara merupakan kunci yang menyatukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya semasa menyampaikan khutbah khas solat Jumaat di Masjid Wilayah di sini, hari ini.

Khutbah bertajuk ‘Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong: Payung Kedaulatan Islam dan Negara’ disampaikan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, esok.

Tuanku Abdul Halim turut berangkat menunaikan solat Jumaat di masjid itu. Seri Paduka diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ismail berkata, Islam menuntut rakyat untuk mentaati dan menghormati raja kerana ia adalah satu daripada prinsip Ahlus Sunnah wal Jama’ah.

Selain itu, katanya, ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’ merupakan prinsip kedua Rukun Negara yang menjadi ideologi nasional yang perlu dipatuhi rakyat Malaysia.

Prinsip ini menekankan kepada rakyat betapa pentingnya kesetiaan terhadap Raja dan negara, katanya sambil mengingatkan bahawa sikap negatif boleh mengalihkan kesetiaan lalu melemahkan urus tadbir negara dan membawa angin kebencian terhadap perpaduan.

“Namun demikian, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana memelihara Seri Paduka Baginda dan negara ini daripada sebarang ancaman. Situasi ini tidak lain dan tidak bukan disumbangkan oleh nilai sifat hikmah, tegas, bijaksana, adil, saksama dan berkeupayaan tinggi Seri Paduka Baginda dalam mengharungi cabaran dengan berkesan.

“Seri Paduka Baginda adalah ketua negara yang mempunyai keperibadian tinggi dalam menjalankan bidang kuasa menjaga negara dan kesucian Islam,” katanya sambil menegaskan bahawa kedaulatan Islam dan kemajuan negara adalah berpayung kepada kekuatan yang di-Pertuan Agong.

Ismail berkata sokongan padu barisan pembesar dan penasihat negara yang mengurus tadbir dengan cemerlang, meneguhkan lagi kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

“Kedaulatan Islam dan kemajuan negara adalah berpayung kepada kekuatan kepimpinannya. Sayugia itu, Seri Padukan Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara, sama ada dari segi keperibadiannya atau dalam menjalankan bidang kuasa untuk menjaga negara dan kesucian agama Islam, dikagumi oleh pelbagai lapisan rakyat jelata,” katanya.

Beliau berkata rakyat menjunjung kasih dan merafak sembah di atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dalam memartabatkan Islam, memajukan negara dan membantu rakyat supaya hidup dengan aman dan harmoni. – BERNAMA