Home » Langit Terbuka » RCE Greater Gombak UIAM terima 8 anugerah pendidikan lestari

RCE Greater Gombak UIAM terima 8 anugerah pendidikan lestari

Di bawah RCE Greater Gombak, UIAM memainkan peranannya dalam menerajui aktiviti kemasyarakatan dan inisiatif pendidikan lestari. - InfoPelajar.com

PUTRAJAYA – Pusat Kepakaran Serantau Pendidikan untuk Pembangunan Lestari, RCE Greater Gombak di bawah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) memenangi lapan Anugerah Projek Inovatif Pendidikan dalam Pembangunan Lestari 2020.

Menurut kenyataan UIAM, pengiktirafan anugerah berkenaan oleh Pusat Perkhidmatan RCE Global itu sebagai mengangkat projek dan program pembangunan lestari yang menjadi penghubung antara masyarakat tempatan melibatkan pembelajaran serta penyelidikan transformatif.

Ini termasuk inisiatif yang menyumbang kepada penyelidikan dan pembangunan serta pengembangan keupayaan pelbagai pihak melalui tiga kategori anugerah iaitu Outstanding Flagship Project, Acknowledged Flagship Project dan Honourable Mention.

Bagi kategori Outstanding Flagship Project, dua projek dimenangi iaitu projek ‘Change the World’ dan ‘Whole Community Transformation through Feed to Educate‘.

Menerusi kategori Acknowledged Flagship Project pula, sebanyak tiga projek dimenangi iaitu ‘Mainstreaming SDGs- Society as Agent of Changes’, ‘Living in Fortuitous Era (LIFE)’ dan ‘Greater Gombak Animal Shelter Project’.

“Di bawah kategori Honourable Mention, sebanyak tiga projek menerima anugerah iaitu ‘Jalinan Siswa Bersama Masyarakat Asli Club (JASA) Mentoring Enviro-Camp’, ‘IIUM Mental Health and Psychosocial Care Team (IMPaCT)’ dan ‘Capacity Building for Islam, Peace and Civilizational Development: Engaging Extremism, Terrorism and Conflict through Education for Sustainability (2019 – 2020): #2Lead4Peace‘,” katanya.

Pengumuman penganugerahan tersebut disampaikan melalui portal Jaringan RCE Global kelmarin.

Pada April lalu, UIAM diisytihar sebagai Pusat RCE iaitu jaringan kerjasama antara individu, masyarakat, pakar dan organisasi yang komited dalam membina masa hadapan lestari menerusi pendidikan.

Jelas kenyataan itu, di bawah RCE Greater Gombak tersebut, UIAM memainkan peranannya dalam menerajui aktiviti kemasyarakatan dan inisiatif pendidikan lestari bersama komuniti, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor kerajaan.

Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, dengan kejayaan yang diperoleh, ia menyempurnakan lagi slogan universiti iaitu mengaplikasikan konsep Khalifah, Iqra, Amanah dan Rahmatan Lil Alamin (KhAIR) serta menguatkan lagi semangat kerjasama berpasukan dalam bidang-bidang kepakaran.

Katanya, sebagai salah sebuah universiti Islam, sudah menjadi tanggungjawab untuk menjaga kelestarian dan kesejahteraan seperti yang dituntut agama.

“Dengan penerapan konsep KhAIR ini, ia menunjukkan bahawa projek-projek yang dijalankan adalah bersifat memberi rahmat ke seluruh alam.

“Projek yang memenangi anugerah ini terdiri daripada projek kemasyarakatan dan komuniti, bukan sahaja kepada alam sekitar, malah melibatkan haiwan seperti kucing,” katanya.

Projek-projek yang dibangunkan UIAM merangkumi tiga aspek kelestarian iaitu transformasi kemasyarakatan, kerohanian dan kelestarian serta kesejahteraan bersama rakan-rakan kolebrasi.

Projek-projek tersebut adalah mengikut 17 pencapaian utama pembangunan lestari (SDG). – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *