Home » Citra Yadim » Reaksi negatif pemimpin komponen BN tindakan mengejutkan

Reaksi negatif pemimpin komponen BN tindakan mengejutkan

KUALA LUMPUR 30 Mei – Reaksi negatif daripada pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) selepas pembentangan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2015 di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu merupakan satu tindakan mengejutkan.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Yusri Mohammad berkata, tidak menghairankan jika pemimpin berkenaan mengambil sikap berhati-hati dan meminta penjelasan, tetapi malangnya mereka kelihatan terburu-buru dengan memberi tanggapan buruk terhadap inisiatif tersebut seperti sudah bercanggah dengan Perlembagaan, falsafah negara, semangat BN dan prinsip-prinsip aak asasi manusia.

Katanya, sikap terlalu cepat menghukum adalah tindakan tidak sihat kerana boleh mengeruhkan hubungan antara penganut beragama Islam dan bukan Islam.

“Kita sedia maklum bahawa isu agama adalah begitu sensitif dan boleh menimbulkan perbalahan dalam negara. Oleh itu, pemimpin politik sebagai ketua kaum dan masyarakat sepatutnya menunjukkan contoh yang baik tentang kepentingan bersikap tenang dan tidak melatah.

“Isu seperti ini perlu dibawa ke meja rundingan. Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri telah memohon untuk menangguhkan perbahasan usul tersebut ke sidang Dewan Rakyat akan datang. Ini akan memberi ruang dan masa kepada semua pihak untuk memahami semua aspek dan implikasi usul sebelum dibahaskan kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi membentangkan rang undang-undang persendirian iaitu pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2015 di Dewan Rakyat, baru-baru ini bagi memperkasa dan memperluas bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Dalam rang undang-undang persendirian yang kali pertama dalam sejarah dibentangkan oleh wakil pembangkang itu, Abdul Hadi mencadangkan supaya Seksyen 2 rang undang-undang ber­kenaan digantikan dengan seksyen baharu.

Tambah Yusri, pihaknya berharap semua pihak agar bertenang dan berhenti daripada menimbulkan kebencian melampau terhadap usul yang sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu dalam forum-forum yang lebih sesuai.

Jelasnya, menghukum, melabel dan menuduh secara terbuka hanya akan memecah-belahkan masyarakat yang tidak mudah hendak dipulihkan.

Katanya lagi, Yadim tidak berasa terkejut apabila melihat pembangkang khususnya DAP dan PAN menentang rang undang-undang tersebut.

“DAP memang konsisten dalam penentangannya terhadap apa-apa inisiatif atas nama Islam manakala PAN pula cenderung membangkang apa-apa inisiatif yang datang daripada Pas.

“Isu ini tidak sepatutnya dilabelkan sebagai isu Islam lawan bukan Islam ataupun isu hukum hudud, sebaliknya perlu dilihat sebagai inisiatif menambah baik Mahkamah Syariah sebagai salah satu sistem kehakiman yang diiktiraf oleh Perlembagaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *