Pembangkang khususnya DAP dan PAN tampak agresif menolak dan mencetuskan pelbagai andai­an tidak berasas tatkala usul dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Khamis lalu.

Malah ada parti komponen BN dalam kalangan bukan Islam turut melatah. Seolah-olah negara sedang dilanda krisis Perlembagaan hebat kerana membincangkan RUU yang kononnya akan memberi ruang kepada negeri tertentu melaksanakan Hukum Hudud yang didakwa bertentang­an de­ngan struktur asas perundangan negara. Jika diperhatikan polemik yang tercetus lahir akibat kegagalan memahami secara tuntas hasrat pindaan Akta 355 khususnya melibatkan Bidang Kuasa Mahkamah Syariah yang ingin dibentangkan.

Sebelum mengulas lanjut polemik ini, penting untuk di­fahami maksud Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah yang ter­maktub di bawah Seksyen 2 Akta 355.

Yang jelas kuasa mahkamah syariah ini hanya terpakai kepada penganut agama Islam dan terikat kepada bidang kuasa yang termaktub di bawah Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesem­bilan kepada Perlembagaan Persekutuan berkenaan kesalahan terhadap rukun agama Islam.

Kadangkala terfikir juga di benak pemikiran penulis, apa sebenarnya punca penolakan dan tentangan kalangan bukan Islam terhadap RUU ini? Bukankah sudah jelas bahawa undang-undang ini hanya terpakai kepada umat Islam? Apakah mereka tidak tahu atau buat-buat tidak tahu bahawa orang bukan Islam tiada kaitan dengan aturan dan perjalanan mahkamah syariah?

Sejak bila pula umat Islam di negara ini seolah-olah perlu menyembah dan meminta perkenan orang bukan Islam apabila hendak melaksanakan ibadah atau sesuatu yang menjadi tuntutan agama mereka?

Perlu difahami bahawa cadang­an pindaan Akta 355 ini hanyalah untuk memperkasa bidang perundangan Syariah de­ngan memperluaskan kuasa hukuman mahkamah syariah yang sekian lama tidak dipinda.

Ketika ini kuasa mahkamah syariah dilihat amat terbatas, tidak dinamik dan terkebelakang berbanding mahkamah sivil yang sentiasa berubah mengikut keper­luan zaman. Sebagai contoh dalam aspek hukuman umpa­manya, kuasa mahkamah syariah hanya terhad kepada denda tidak melebihi RM5000 atau penjara tiga tahun atau enam kali sebatan atau gabungan hukuman tersebut.

Sudah tentulah hukuman ini tidak selari dengan perkembangan sistem penghakim­an sivil yang lebih terkehadapan dan seringkali bergerak seiring dengan peredaran dan keperluan masyarakat yang berubah-ubah.

Justeru menjenamakan RUU itu dengan pelaksanaan hudud dan menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam dengan mencetuskan pelbagai andaian palsu adalah berniat jahat dan boleh memporakporandakan kestabilan dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Hakikatnya, RUU yang dicadangkan juga tidak terkait de­ngan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan yang pernah dibentangkan dan diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sebelum ini. Ini kerana bagi membolehkan Enakmen Negeri Kelantan dilaksanakan khususnya berkaitan hudud yang meli­batkan kesalahan jenayah awam di bawah Kanun Keseksaan, dan dalam bidang kuasa Persekutuan seperti mencuri dan merompak, tidak cukup sekadar meluluskan pindaan Akta 355.

Untuk melaksanakan Hukum Hudud secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri Kelantan perlu terlebih dahulu memohon kebenaran Parlimen di bawah Perkara 76A (1) untuk membuat undang-undang yang terkait dengan jenayah awam iaitu bidang kuasa Persekutuan. Ini hanya boleh dilakukan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi meletakkan kesalahan hudud yang melibatkan jenayah awam seperti terkandung dalam Kanun Keseksaan mi­salnya mencuri dan merompak di bawah Se­narai Negeri Perlembagaan.

Malah untuk membolehkan hukuman ini hanya terpakai kepada orang Islam, Perkara 8 dalam Perlembagaan juga perlu dipinda bagi mengelakkan perlanggaran prinsip diskriminasi perundangan atas alasan agama.

Harus diingat bahawa pindaan terhadap sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilakukan jika sekurang-kurangnya dua pertiga iaitu 148 daripada 222 ahli Parlimen menyokong pindaan tersebut.

Realiti politik masa kini tidak sesekali memungkinkan sebarang pindaan kepada mana-mana bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan kerana BN sendiri tidak memiliki bilangan kerusi Parlimen dengan majoriti dua pertiga. Malah diandaikan ahli Parlimen UMNO dan Pas menyokong pindaan sekalipun tidak cukup untuk mendapat majoriti mudah apatah lagi meminda Perlembagaan bagi maksud melaksanakan hudud.

Justeru tidak perlulah dibuat sebarang andaian mahupun mencetuskan reaksi keterlaluan terhadap pindaan Akta 355 yang melibatkan peluasan bidang kuasa mahkamah syariah. Malah mengaitkannya dengan pelaksana­an hudud yang lebih rumit adalah bersifat simplistik seolah-olah ada udang di sebalik batu.

Mereka yang membuat andai­an dan spekulasi seperti ini sebenarnya berhujah tanpa berasaskan fakta mahupun berpijak di bumi nyata. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pihak terba­bit terlalu terdesak hingga sanggup memainkan sentimen kebencian atas andaian yang tidak benar.

Mudah-mudahan pimpinan parti komponen BN dalam kalang­an bukan Islam mulai sedar dan tidak berterusan menari mengikut paluan gendang DAP. Bertindaklah mengikut rasional akal dan suluhan ilmu yang benar. Fahami dan hayatilah kerangka Perlembagaan dan struktur perundangan negara secara holistik sebelum melakukan sebarang tindakan.

Sebagaimana umat Islam sejak merdeka begitu toleransi, menghormati prinsip kebebasan beragama dan hak rakyat bukan Islam melaksanakan pelbagai tuntutan agama masing-ma­sing, maka hormatilah juga hak masyarakat Islam.

Apatah lagi kedudukan istimewa Islam dalam struktur Perlembagaan sebagai Agama Persekutuan jelas mengisyaratkan bahawa pemerintah bertanggungjawab mempertahan dan memperkasakan institusi Islam yang ada dalam negara ini.

Atas asas ini jugalah maka sudah tiba masanya mahkamah syariah sebagai salah satu institusi terpenting dalam mendaulatkan agama Islam di negara ini diperkasa dan dimartabatkan seiring de­ngan sistem perundangan sivil.-UTUSAN