Home » Langit Terbuka » Rejim Myanmar mahu robohkan masjid, madrasah di Rakhine

Rejim Myanmar mahu robohkan masjid, madrasah di Rakhine

YANGON, 22 Sept. – Sentimen anti-Islam terus berlaku di Myanmar apabila kerajaan rejim negara itu merancang meroboh 12 masjid dan 35 madrasah di utara wilayah majoriti umat Islam – Rakhine, kata satu laporan, semalam.

Menurut laporan itu, sembilan masjid dan 24 madrasah yang bakal dirobohkan terletak di Maungdaw, manakala tiga masjid dan 11 madrasah di Buthidaung. Kira-kira 90 peratus penduduk di dua bandar itu adalah umat Islam.

Arahan perobohan itu dikatakan dikeluarkan oleh Menteri Hal Ehwal Keselamatan dan Sempadan, Kolonel Htein Linn.

Rancangan itu bagaimanapun mendapat perhatian penduduk, di mana pemimpin Islam berpendapat tindakan berkenaan boleh mencetuskan ketegangan antara umat Islam dan penganut Buddha.

“Pelan ini boleh menyebabkan keganasan agama dan masalah lain yang tidak diingini. Keadaan ini boleh menimbulkan dilema terhadap penduduk tempatan,” kata seorang pemimpin Islam Maungdaw yang enggan dikenali.

Keganasan dan serangan oleh penganut Buddha ke atas umat Islam di Rakhine sejak 2012 menyebabkan hampir 100 nyawa terkorban, manakala 140,000 lagi umat Islam Rohingya menjadi pelarian, selain pembakaran masjid dan madrasah.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan Rohingya sebagai kumpulan minoriti paling tertindas di dunia. Kerajaan Myanmar tidak mengiktiraf mereka sebagai satu daripada suku etnik di negara itu, sebaliknya mereka digelar ‘Benggali’ dan pendatang dari Bangladesh.

Rancangan perobohan itu turut membabitkan lebih 3,000 bangunan lain yang mana kebanyakannya dimiliki oleh umat Islam. – Agensi

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *