Home » Persuasif » Relevenkah Batasan Aurat?

Relevenkah Batasan Aurat?

Oleh WARTAWAN DAKWAH

Seorang pemandu bas di Jerman mengugut untuk melempar keluar seorang wanita dari basnya kerana pakaian wanita tersebut terlalu seksi! Pemandu itu berang kerana setiap kali beliau memandang cermin, keseksian wanita tersebut ‘memesongkan perhatiannya’ sehingga menghilangkan tumpuannya kepada jalan raya.

Itu di luar negara. Tidak lama dulu, seorang jururawat dibuang kerja kerana cuba menutup aurat semasa bekerja. Kejadian berlaku di Malaysia, sebuah negara aman damai yang mengangkat agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Tidak kurang ramai pula yang berbangga mendedahkan aurat hanya beralasankan hak individu dan tuntutan fesyen. Sehinggakan kata-kata seperti: “Saya berpakaian sebegini (seksi dan tidak menutup aurat) adalah bagi mempamerkan kecantikan anugerah tuhan kepada saya, rugi sekiranya kecantikan dan anugerah ini tidak ‘dikongsi’ bersama.”

Ataupun alasan seperti: “Ini hak individu, tidak kisahlah sekiranya sesiapa pun yang ingin berpakaian seksi atau tidak, masing-masing punya hak. Tidak perlu menjaga tepi kain orang lain. Lagipun kubur masing-masing. Dalam zaman globalisasi ini kita harus berfikiran terbuka. Tidak seharusnya terlalu jumud atau kolot.”

Di luar, mereka bersungguh-sungguh menunjukkan minat untuk mempelajari dan memahami Islam, di sini mereka bersungguh-sungguh menunjukkan minat bukan sahaja untuk mempelajari dan memahami apa yang disebut sebagai modernisasi era globalisasi tetapi juga turut bersungguh-sungguh mengadaptasikannya dengan bangga.

Semuanya mengenai aurat. Betapa indahnya Islam kerana menetapkan hukum bahawa wanita wajib menutup auratnya bukan sahaja mengikuti syariat tersebut menaikkan darjat wanita disisi Allah SWT malah mampu melindungi wanita daripada diugut untuk dicampak keluar dari sebuah bas seperti nasib wanita Jerman itu!

Al-Quran surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Wanita yang berpakaian menutup aurat juga menjadi mangsa pencabulan dan rogol. Ini bermakna faktor pakaian atau aurat bukan pendorong perlakuan itu tetapi nafsu. Contoh lain, kanak-kanak juga dilaporkan menjadi mangsa kerakusan tersebut. Lihat sahaja di dalam media massa yang melaporkan kejadian-kejadian ini. Statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melaporkan indeks jenayah rogol dan sebagainya telah bertambah dengan lebih besar. Justeru, mana relevennya menjaga aurat?

Tidak relevenkah Islam menetapkan batasan aurat?

Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (Riwayat Muslim).

Hadis menyebut bahawa perempuan yang berpakaian tetapi telanjang (seksi) akan berkecenderungan kepada perbuatan maksiat dan cenderung juga membawa orang lain berbuat maksiat. Persoalan mengapa wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah pula menjadi mangsa berkait rapat dengan hadis ini. Cuba bayangkan, wanita yang tidak menutup aurat dan seksi berkemungkinan besar akan membangkitkan nafsu jahat kepada lelaki jahat. Dalam kes ini, nafsu jahat itu pula membuak-buak dan perlu dilampiaskan segera. Pada masa itu, wanita yang tidak menutup aurat dan seksi berada di dalam kelompok awam yang ramai dan keadaan tidak memungkinkan nafsu jahat lelaki itu dilampiaskan. Maka, yang menjadi mangsa pastinya wanita-wanita dan kanak-kanak yang tidak bernasib baik yang pada masa itu berada di dalam situasi dan loksai yang tidak memihak kepada mereka.

Al-Quran surah Al-’Araf ayat 20-21 menjelaskan peristiwa ketika Adam dan Hawa berada di syurga: “Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan pada keduanya apa yang tertutup dari mereka, iaitu auratnya, dan syaitan berkata: “Tuhan kamu melarang kamu mendekati pohon ini, supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (di syurga). Setelah mereka merasakan (buah) pohon (terlarang) itu terlihatlah bagi keduanya aurat dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga…”

Jelas di sini bahawa fitrah asas yang terdapat di dalam diri manusia ialah ‘tertutupnya aurat’ namun akibat godaan syaitan, aurat manusia terbuka. Ayat di atas juga jelas bahawa idea ‘membuka aurat’ adalah idea syaitan dan kerananya ‘tanda-tanda kehadiran syaitan adalah ‘keterbukaan aurat’. Sebuah riwayat yang dikemukakan oleh Al-Biqa’i dalam bukunya, Shubhat Waraqah menyatakan bahawa ketika Rasulullah SAW belum memperoleh keyakinan tentang apa yang dialaminya di Gua Hira, adakah dari malaikat atau dari syaitan, Baginda menyampaikan hal tersebut kepada isterinya Khadijah.

Khadijah berkata: “Jika engkau melihatnya lagi, beritahulah aku.” Pada suatu hari, Rasulullah SAW melihat (malaikat) yang dilihatnya di Gua Hira, Khadijah membuka pakaiannya sambi1 bertanya: “Sekarang apakah engkau masih melihatnya?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Tidak, dia sudah pergi.” Khadijah dengan penuh keyakinan berkata, “Yakinlah bahawa yang datang itu bukan syaitan, (kerana hanya syaitan yang gemar melihat aurat).” (Dr. M. Quraish Shihab, Wawasan al-Quran).

Berdasarkan dalil al-Quran dan al-Hadis, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu remeh dan biasa. Ia adalah termasuk dalam katergori hukum qati’e dan usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat diperjuangkan oleh syaitan. Ini adalah kerana, dengan terbukanya aurat, maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak luar nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal syaitan mensasarkan dosa ‘buka aurat’ ini sebagai dosa pilihan utamanya ada disebutkan dalam al-Quran dari firman Allah maksudnya: “Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya …”( al-A’raf : 20).

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada seksaan yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim diantara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kesemuanya). Dan ketahuilah bahawa Allah SWT Maha Berat azab seksaannya.” (al-Anfal: 25).

Artikel Berkaitan

Kerajaan saring individu sampaikan ajaran Islam

KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan saringan terhadap individu yang akan menyampaikan ajaran Islam di negara ini bagi mengekang penyebaran liberalisme yang berselindung

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *