Home » Persuasif » Remaja dahulu dan sekarang

Remaja dahulu dan sekarang

Oleh AMIDA ABDULHAMID
Dr Amida Abdulhamid adalah seorang penulis dan penilai buku yang berpengalaman. Nama pena beliau adalah Anis.
Dahulu dan sekarang adalah dua era yang direnggangkan oleh satu tempoh yang agak lama, mungkin 10 tahun, atau 20 tahun, 50 tahun, dan mungkin beratus tahun. Dalam tulisan ini saya akan menggunakan era keremajaan saya pada tahun-tahun 1950an dan beberapa tahun selepasnya sebagai latar untuk melihat perbezaan yang mungkin ditemui.
Remaja dahulu
Remaja pada tahun 1950an adalah remaja yang berdepan dengan semangat cintakan tanah air yang bergolak untuk mencapai kemerdekaan. Pada zaman itu, jiwa berkobar untuk membebaskan tanah air daripada penjajahan British. Bukannya kita benci kepada British tetapi kita mahu berdikari, mahu memerintah negeri sendiri. Kita mahu menjadi tuan dalam negeri sendiri.
Dengan niat murni itu, warganegara wajar memainkan peranan untuk membina negara merdeka dan memerintah negara baharu ini sebaiknya. Langkah pertama yang dilihat kewajarannya ialah memajukan negara. Ilmu pengetahuan diutamakan kerana tanpa ilmu, tiada kemajuan yang dapat dikecapi.
Pada waktu itu, bentuk kemajuan dan warna kemajuan wujud dalam budaya dan pendidikan British. Sekolah Inggeris dibuka dengan penubuhan Special Malay Class. Sebelum ini, Sekolah Melayu didirikan untuk murid lelaki dan murid perempuan secara berasingan. Apabila kerajaan mengorak langkah memajukan persekolahan, maka sekolah Inggeris dibuka untuk murid lelaki dan perempuan. Bahasa Inggeris diberi keutamaan, sehinggakan ada sekolah yang mendenda murid jika tidak menggunakan bahasa Inggeris.
Budaya berpakaian cara Barat berleluasa kerana inilah yang ditafsirkan sebagai kemajuan. Namun, disebalik rancaknya menghidupkan budaya Barat, remaja masih mengikuti sekolah agama yang dijalankan pada sebelah petang. Selesai bersekolah pagi, pulang ke rumah untuk bertukar pakaian berbaju kurung putih dan berkain biru gelap dengan baju kurung dengan lengkap bertudung. Disekolah agama, murid akan diajar dengan ilmu tauhid, adab dan tajwid. Tulisan jawi dan bacaan al-Quran diutamakan.
Pendidikan menjadi isu penting negara. Sekolah perlu dibuka, tetapi guru amat berkurangan.Walaupun ada agenda latihan perguruan di Kirkby, namun permintaan amat genting untuk mendapatkan guru. Maka kerajaan menawarkan program latihan perguruan seperti Day Training Centre. Pelajar berkelulusan tingkatan 3 (LCE) digalakkan untuk menyertai program ini.
Bukan sahaja sekolah kurang, guru kurang, malah buku pun kurang – terutamanya buku teks. Adakah kita akan mengalah dan mengaku kalah dengan keadaan kritikal demikian? Perbincangan dan perdebatan dijalankan dan rata-rata semangat mahu maju mesti diteruskan – sama ada sekolah ada atau tiada, sama ada buku ada atau tiada, calon guru tetap menjalankan tugas.
Guru juga perlu bersikap kreatif dan inovatif: menyediakan bahan alat bantu mengajar. Dengan elaun RM45.00 sebulan, itulah untuk sara hidup, bayar sewa rumah, beli pakaian, dan menyediakan alat bantu mengajar secara manual. Calon guru bertindak atas inisiatif sendiri. Pada waktu itu tiada komputer, tiada telefon bimbit, tiada LRT, tiada mesin faks dan mesin fotokopi jenama Xerox.
Remaja yang selesai belajar mula menapak ke dunia nyata. Pada ketika itu tidak ada banyak pilihan. Bagi remaja yang pintar pandai, mungkin boleh jadi guru. Pada era itu, sesiapa yang dapat masuk Institusi Verterinar di Air Hitam, sudah dikira hebat.
Remaja sekarang
Remaja sekarang amat bertuah kerana punya banyak pilihan untuk jalani kehidupan. Subjek yang dipelajari di sekolah pun amat luas. Dengan kemudahan komputer, remaja sudah boleh memantau pekerjaan dan memohon pekerjaan secara dalam talian. Penyelidikan boleh dibuat dalam internet, berbanding remaja dahulu yang bergantung pada buku dan akhbar di perpustakaan.
Dengan kemajuan sains dan teknologi, remaja sekarang mendapat pendedahan yang pelbagai dalam bidang ilmu dan kepakaran. Kemudahan yang disediakan di sekolah juga memberi peluang keemasan. Panduan kerjaya disediakan berbanding saya dahulu meraba dalam gelap mencari arah kerana tiada sebarang panduan untuk memilih kerjaya.
Peluang untuk belajar juga terbuka luas untuk remaja sekarang. Bukan sahaja boleh melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di dalam negeri, malah mereka boleh menuntut ilmu di negara Barat – Great Britain, Amerika, Jerman, Rusia – juga ke negara Timur seperti Korea, Jepun – malah juga ke negara Timur Tengah seperti Jordan, Mekah, Madinah, dan Mesir.
Remaja dahulu mempersiapkan diri untuk kemerdekaan negara. Remaja sekarang bergiat mengisi kemerdekaan dengan ilmu dan hikmah. Kalau dahulu acuan kemajuan negara ditiru dari Barat, namun peralihan waktu telah memperbetulkan persepsi kemajuan itu. Negara merdeka mesti membangunkan semangat jati dirinya. Ilmu dan pengetahuan mungkin diambil daripada Barat atau Timur, namun semangatnya mesti semangat Islam yang berpaksikan dua kalimah syahadah, dan lima rukun negara.
Kalau remaja dahulu terbatas pilihannya, maka remaja itu perlu pintar memanfaatkan apa yang ada untuk pelestarian hidup. Mungkin perbezaan ketara terletak pada peluang dan pilihan. Dengan lebih banyak peluang dan pilihan, remaja sekarang berdepan dengan persaingan. Faktor persaingan ini penting untuk meningkatkan prestasi dan kualiti hidup.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *