Wasiat dari sebaik-baik pemimpin

0
662

Oleh BURHANUDDIN JALAL

Kisah Panglima Muhammad al-Fateh (Sultan Mehmed II) sentiasa segar dan sering menjadi topik perbincangan. Mengulang-ulang kisah hidupnya dalam lipatan sejarah kegemilangan peribadi, kepimpinan dan pemerintahannya tidak pernah menjemukan.

Kehidupan, keperibadian dan kepimpinan Muhammad al-Fateh telah memberikan gambaran secara jelas dan terperinci tentang ketakwaan, keyakinan dan kepatuhannya kepada Allah SWT dan agama terbukti dengan apa yang telah beliau lakukan ketika menjadi sultan yang adil, amanah, berwawasan dan penyayang terhadap rakyatnya.
Ini seperti digambarkan melalui sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud: “Sesungguhnya Konstantinopel akan ditakluki. Maka sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya dan yang akan menakluknya.”

- advertisement -

Tempoh menjadi sultan selama 30 tahun (1451 hingga 1481 Masihi) merupakan satu tempoh yang panjang. Muhammad al-Fateh terkenal sebagai seorang pemimpin yang mempunyai visi dan wawasan yang jelas. Strategi peperangan yang digunakan untuk menewaskan pihak musuh merupakan strategi yang amat luar biasa. Pasukan tenteranya berjaya mencipta senjata baharu pada ketika itu iaitu meriam.

Keperibadian Muhammad al-Fateh sebagai sultan dalam tempoh mengetuai negara dan menaungi rakyat amat disenangi rakyat jelata selain telah membawa panji Islam ke mercu kegemilangan.

Keutamaannya dalam mementingkan urusan agama berbanding dengan urusan yang lain merupakan aspek yang perlu dihayati bersama khususnya para pemimpin disemua peringkat. Ini dapat dibuktikan dengan wasiat yang beliau tinggalkan untuk anaknya sebelum meninggal dunia. Wasiat yang mengungkapkan prinsip beliau menjalani kehidupan; nilai-nilai dan keyakinan yang dipegang agar terus disuburkan oleh khalifah-khalifah berikutnya. Antara lain wasiat tersebut mencatatkan:

“Tidak lama lagi aku akan mati, tetapi aku tidak pernah menyesal kerana aku telah meninggalkan calon pengganti dan penerus seperti kamu. Jadilah orang yang adil, soleh dan penyayang. Lindungilah seluruh rakyatmu tanpa membeza-bezakan dan bekerjalah untuk menyebar agama Islam. Ini adalah kewajipan seluruh raja di atas muka bumi ini. Dahulukan perhatianmu kepada urusan agama berbanding dengan urusan yang lain. Jangan berhenti untuk terus melaksanakannya.

Jangan memilih orang yang tidak mengutamakan urusan agama, tidak menjauhi dosa-dosa besar dan tenggelam dalam maksiat. Jauhilah juga bidaah yang merosakkan. Jauhilah orang yang mengajak kamu melakukan bidaah. Perluaskanlah negeri kamu dengan berjihad dan janganlah sampai harta baitulmal itu dibazirkan. Jangan mengambil harta walau dari seorang pun dari rakyat kamu kecuali dengan mengikut aturan Islam. Berikanlah jaminan makanan dan keselamatan bagi orang-orang yang lemah. Muliakan orang yang berhak dengan sebaik-baiknya.

Ketahuilah bahawa para ulama itu merupakan satu kekuatan yang ada dalam tubuh negara kamu, maka muliakanlah kehormatan mereka dan motivasikanlah mereka dengan sumber kekuatan dan kekuasaan yang kamu miliki. Jika engkau mendengar ada ulama di negeri yang jauh, maka undanglah ia datang dan muliakannya.Waspada dan berhati-hatilah, jangan sampai engkau terlena dan terpesona dengan harta dan kekuatan yang banyak. Jangan sampai engkau menjauhi ulama syariat dan jangan sampai engkau cenderung melakukan amalan yang menyalahi syariat. Agama adalah tujuan kita, hidayah adalah jalan hidup kita dan dengan keduanya, kita akan menang.

Ambillah pengajaran dari diriku. Aku datang ke negeri ini seperti semut yang kecil, lalu Allah memberikan aku semua nikmat yang besar ini. Oleh itu, ikutilah dan jejaklah apa yang aku lakukan. Bekerjalah untuk meneguhkan agama ini dan muliakan para pengikutnya. Jangan menggunakan wang negara untuk kemewahan dan sia-sia atau membelanjakan lebih dari sepatutnya kerana ia penyebab terbesar kebinasaan.” (Syaikh Ramzi al- Munyawi, 2011, Muhammad al-Fateh: Penakluk Konstantinopel).

Dalam tempoh 30 tahun, dengan melalui pelbagai pertempuran, penaklukan, keadilan dan kemakmuran negara, Sultan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 4 Rabiul Awwal 886 Hijrah atau 3 Mei 1481 Masihi di Askodra di dalam sebuah khemah dalam kalangan anggota tenteranya.

Dalam tempoh hampir dengan kematiannya itu, beliau sedang merancang satu misi besar, tetapi masih dirahsiakan dan tidak diketahui tujuan dan masa pelaksanaannya. Sememangnya Muhammad al-Fateh sentiasa merahsiakan strategi ketenteraannya daripada sesiapapun walaupun kepada panglima tentera yang terdekat dengannya. Dalam menjaga kerahsiaan ini, Muhammad al-Fateh pernah menyatakan: “Jika aku sengaja memberitahu kepada salah satu helai janggutku, maka pasti aku akan mencabutnya.”

Ternyata empayar Uthmaniah terus gemilang selepas ketiadaan Muhammad al-Fateh dan ternyata Muhammad al-Fateh telah berjaya mewasiatkan perkara yang penting untuk penggantinya, sepertimana tersebut dalam wasiatnya: “Tidak lama lagi aku akan mati, tetapi aku tidak pernah menyesal kerana aku telah meninggalkan calon pengganti dan penerus seperti kamu. Jadilah orang yang adil, soleh dan penyayang. Lindungilah seluruh rakyatmu tanpa membeza-bezakan dan bekerjalah untuk menyebar agama Islam.”

Semoga wasiat ini dapat kita teladani dan diwarisi oleh generasi kita bagi membawa negara Malaysia tercinta ini ke arah kegemilangan dan kecemerlangan serta mendapat keampunan dan keberkatan dari Allah SWT jua. – MAJALAH DAKWAH

Leftenan Kolonel Dr Burhanuddin Jalal ialah Profesor Madya di Jabatan Kenegaraan, Kepemimpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan,Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Kuala Lumpur

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here