Home » Langit Terbuka » Revolusi kelaparan’ landa Iran

Revolusi kelaparan’ landa Iran

TEHERAN 1 Jan. – Timur Tengah kembali dilanda protes antikerajaan selepas rantau itu digemparkan dengan gelombang revolusi Arab Spring pada 2011.

Beberapa bandar di Iran menyaksikan siri bantahan selama tiga hari berturut-turut ke atas Presiden Hassan Rouhani selepas ia bermula di Mashhad pada Khamis lalu dan disifatkan demonstrasi terbesar sejak Protes Gerakan Hijau pada 2009.

Protes mega digelar sebagai ‘Revolusi kelaparan’ itu dipercayai tercetus berikutan gelombang kenaikan harga dan kos sara hidup tinggi hingga memberi impak besar kepada rakyat.

Dasar diterapkan rejim Iran telah memberi kesan kepada realiti sosial, politik dan ekonomi rakyat negara itu, sekali gus mengakibatkan kesengsaraan ke atas mereka terutama golongan miskin.

Semalam, Timbalan Gabenor Wilayah Lorestan, Habibollah Khojastehpour memaklumkan sekurang-kurangnya dua terbunuh manakala enam cedera di bandar Dorud, barat Teheran.

“Kedua-dua mangsa maut selepas pertempuran tercetus antara kumpulan yang dipercayai bermusuhan. Ia tiada kaitan dengan pasukan keselamatan kerana mereka tidak melepaskan sebarang tembakan ke arah kumpulan terbabit,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut tentang insiden itu.

Akses internet, perkhidmatan media sosial bakal disekat?

Situasi yang semakin tegang di negara itu menyebabkan Pengawal Revolusi Iran memberi amaran tegas terhadap kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan terbabit.

Rakaman video diperoleh agensi berita Mehr menunjukkan peserta protes menyerang sebuah dewan bandar di tengah Teheran dan turut merosakkan harta benda awam.

Kumpulan pelajar turut menyertai protes yang mengutuk masalah ekonomi dihadapi rakyat.

“Mereka bertindak melanggar undang-undang perlu bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka dan bakal berdepan ‘hukuman’ sewajarnya,” tegas Menteri Dalam Negeri, Abdolrahman Rahmani Fazli menerusi  stesen televisyen.

Beberapa agensi berita memberi amaran, perkhidmatan media sosial popular, Telegram mungkin akan disekat selepas Menteri Komunikasi, Mohammad- Javad Azari Jahromi mendakwa saluran Amadnews menggalakkan ‘pemberontakan bersenjata’.

Di Arak, kira-kira 300 kilometer di barat daya Teheran, kira-kira 80 telah diberkas.

“Sebahagian daripada mereka cuba memasuki dan memusnahkan beberapa bangunan kerajaan. Tetapi, mereka gagal mencapai ‘matlamat’ itu dan situasi masih terkawal.

Rakaman video dikongsi di media sosial menunjukkan ribuan berarak di kebanyakan bandar utama di negara itu sambil melaungkan slogan mengutuk presiden.

Larangan perjalanan dan sekatan ke atas hampir kesemua media rasmi di Teheran menyebabkan kesukaran mengesahkan kebenaran khabar angin yang tular di media sosial.

Agensi berita IRINN memberitahu pihak berkuasa melarangnya membuat liputan tentang protes itu yang kini merebak ke Qom dan Kermanshah.

Difahamkan, pihak berkuasa turut menyekat sementara akses internet melalui telefon bimbit dan rangkaian utama.

Sehingga kini, Presiden Hassan Rouhani memegang tampuk pemerintahan pada 2013 yang berikrar memperbaiki ekonomi dan mengurangkan ketegangan sosial masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan tentang krisis berkenaan.

Protes antikerajaan kali ini didorong oleh sebahagian besar masyarakat golongan pertengahan yang berang dengan kadar pengangguran tinggi, kenaikan harga serta skandal kewangan.

Beberapa penunjuk perasaan melarikan diri selepas pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata ke arah mereka.

“Golongan itu berdepan masalah ekonomi utama yang akan menyebabkan mereka kehilangan wang apabila berlaku kejatuhan institusi kredit,” kata Ketua Editor rangkaian media Nazar, Payam Parhiz.

Dalam perkembangan lain, kumpulan pro kerajaan dilaporkan turut mengadakan perhimpunan sempena menyambut ulang tahun kelapan penindasan protes jalanan 2009 sebagai respons terhadap bantahan tersebut.

Protes di Perancis, Jerman

Kumpulan kecil penentang rejim Iran menganjurkan demonstrasi di Perancis dan Jerman untuk menzahirkan sokongan kepada penunjuk perasaan anti kerajaan sejak Khamis lalu.

 

Kira-kira 40 penunjuk perasaan berhampiran Kedutaan Iran di Paris bertujuan menggesa Teheran menamatkan ‘campur tangan’ di Syria dan Lubnan.

Di Berlin, kira-kira 100 peserta protes berhimpun dekat Kedutaan Iran mendesak kerajaan membebaskan mereka yang diberkas sepanjang tiga hari demonstrasi itu berlangsung. – Agensi

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *