Antara faktor utamanya adalah perbezaan ideologi politik. Disebabkan politik saudara-saudara seislam kita terus bercakaran sesama sendiri sehingga puak yang sememangnya mahu perbalahan itu berlaku bertepuk ta­ngan kerana terlalu seronok melihat keadaan sedemikian.

Bagi mereka selagi umat Islam berpecah, lagi mudah perancangan dibuat khususnya untuk merampas kuasa politik yang selama ini menjadi milik turun-temurun orang Melayu melalui sistem pilihan raya.

Sama ada kita sedar atau tidak, itu sebenarnya yang terjadi sekarang. Disebabkan perpecahan, orang Mela­yu semakin lemah lebih-lebih lagi lahirnya parti-parti serpih­an Melayu seperti PAN yang secara tidak langsung memecahbelahkan lagi perpaduan orang kita. Itu belum lagi dikira dengan ura-ura mewujudkan lagi parti Melayu oleh bekas pemimpin.

Lebih malang lagi PAN kelihatan begitu ‘mesra’ dengan DAP yang sudah tentu menggusarkan umat Islam negara ini jika diambil kira beberapa pendirian keras parti berke­naan terhadap perkara berkaitan Islam. Antaranya tentangan DAP terhadap usaha memperkukuhkan lagi kedudukan Mahkamah Syariah melalui cadangan pindaan Akta 355.

Berbalik kepada kegusaran saya tadi, cubalah sesekali kita renung sejenak apa yang akan berlaku sekiranya orang Melayu benar-benar hilang kuasa politik. Agak-agak apakah nasib orang Melayu dan paling dibimbangkan kedudukan Islam pada masa itu?

Adakah Islam masih menjadi Agama Persekutuan se­perti yang diperuntukkan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan sekarang? Adakah masih wujud lagi institusi keagamaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Agama Islam Negeri dan sekolah agama jika orang Melayu sudah hilang kuasa politik? Tidak terkecuali juga kedudukan serta masa depan institusi raja.

Penulis sengaja membangkitkan isu ini supaya orang Melayu berfikir panjang tentang masa depan anak cucu kita di negara ini jika masalah perpaduan ini gagal diselesaikan dengan baik dalam tempoh terdekat ini.

Tiada salahnya jika barisan kepimpinan parti orang Melayu melupakan sejenak persengketaan dalam beberapa isu dan duduk semeja demi perpaduan orang Melayu serta kedudukan Islam. Usaha ini boleh dilakukan jika semua pemimpin parti Melayu berjiwa besar. Sebagai permulaan UMNO dan Pas boleh merintis jalan ke arah itu.

Libatkan para ulama, cendekiawan, profesional serta ahli akademik dan jangan dilupakan pemimpin-pe­mimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Gemblengkan semua tenaga ini menjadi satu kuasa besar yang mampu mengambil satu tindakan yang konkrit. Yakinlah bahawa Allah SWT akan sentiasa membantu hamba-Nya yang mahu bersatu padu.

Tambahan pula kita telah mempunyai platform untuk memudahkan inisiatif tersebut digerakkan iaitu melalui peranan Majlis Dakwah Negara (MDN)-Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang dipengerusikan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid.

Jangan dipersia-siakan platform yang ada ini demi orang Melayu dan Islam. Syabas juga diucapkan kepada ustaz Mahmood Zuhdi dan kumpulannya atas inisiatif menyatupadukan umat termasuk dalam kerja-kerja agama.

Terdapat banyak ayat al-Quran memerintahkan umat Islam berpadu antaranya Surah ali-Imran ayat 103; al-Maidah ayat 2; al-Hujurat ayat 10 dan as-Syura ayat 13. Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Tidak masuk ke syurga pemutus silaturahim.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Rumusannya dalam isu perpaduan ini cukup mudah. Mereka yang memecahbelahkan umat tidak akan masuk syurga Allah SWT, itu sahaja