Home » Citra Yadim » MDN anjur RTD Cina Muslim

MDN anjur RTD Cina Muslim

Majlis Dakwah Negara (MDN-Yadim) akan menganjurkan Persidangan Meja Bulat (RTD) Cina Muslim bertempat di Dewan Jumaah, Universiti Teknologi Malaysia, K.Lumpur pada 11  Ogos 2016 ini dengan membawa tema ‘ Peranan Cina Muslim Dalam Pembinaan Negara Bangsa Malaysia.

Program ini mendapat kerjasama daripada Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Contemporary  Fiqh Research Unit (CFRU-IIUM).

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN)-YADIM , Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata, program ini dianjurkan bagi mempertemukan  golongan profesional, teknokrat, pendakwah dan pimpinan NGO daripada kalangan Cina Muslim dalam satu persidangan bagi merapatkan hubungan ukhuwah serta perpaduan di kalangan mereka.

“Penganjuran Persidangan Meja Bulat ini adalah satu inisiatif untuk menghimpunkan  para pemimpin  dari kalangan masyarakat Cina Muslim  yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan, keluarga, profesion  dan kerjaya dari pelbagai pertubuhan dan agensi di negara ini.

“ Matlamat utama penganjuran persidangan ini adalah untuk membincangkan peranan dan sumbangan masyarakat  Cina Muslim dalam membina negara bangsa di Malaysia, ‘’ katanya.

Jelasnya, di samping itu, RTD ini memberi ruang kepada  agensi-agensi agama Islam pusat dan negeri mendengar dan juga prihatin dengan permasalahan dan juga persoalan yang sering menjadi rungutan kepada saudara-saudara Cina Muslim di Malaysia dalam usaha mereka untuk  memberi sumbangan ke arah membina negara bangsa dalam konteks komuniti Cina Muslim.

Beliau berkata, memandangkan peranan dan juga keterlibatan golongan Cina Muslim  selama ini agak terpinggir  dan tersisih dari arus pembangunan dakwah Islamiah dan juga pembangunan negara bangsa di Malaysia secara khusus, maka MDN mengharapkan agar persidangan ini akan menjadi wahana terbaik untuk mendapatkan pandangan dan juga cadangan balas daripada mereka.

Menurutnya, MDN berharap program ini mampu melahirkan satu pendekatan dan juga gerak kerja  yang boleh dilaksanakan secara kolektif dan holistik  di kalangan agensi dan jabatan agama Islam di semua peringkat pusat dan negeri serta badan-badan yang mewakili  masyarakat Cina Muslim itu sendiri.

“Program ini diadakan dalam bentuk  pendengaran awam untuk mendapatkan  maklumat dan juga  maklum balas daripada pelbagai pihak dan juga  golongan profesional masyarakat Cina Muslim  tentang peranan dan juga sumbangan  yang sepatutnya dimainkan oleh masyarakat Cina Muslim dalam membina negara bangsa Malaysia,’’ katanya.

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *